Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan bahawa Pohang Steelers dari Korea Selatan dan Ratchaburi dari Thailand akan bergabung dengan juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Nagoya Grampus dari Jepun dalam Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2021 (ACL).
Dalam satu kenyataan semalam, AFC mengatakan bahawa mereka telah memperoleh pengesahan Persatuan Bola Sepak China (CFA) mengenai pengunduran juara Liga Super China Jiangsu daripada mengambil bahagian dalam ACL musim 2021.
Sesuai dengan Peraturan Pertandingan ACL 2021, Jawatankuasa Pertandingan AFC juga telah memutuskan untuk membatalkan pertandingan playoff antara Pohang dan Ratchaburi yang dijadualkan berlangsung pada 14 April ini.
“Kedua-dua kelab sebaliknya telah dianugerahkan dengan penyertaan langsung ke dalam Kumpulan G, bersama Nagoya Grampus dari Jepun dan JDT dari Malaysia, dengan Pohang Steelers sekarang menduduki posisi G1 dan Ratchaburi masuk ke posisi G4,” menurut AFC.
Sementara itu, AFC juga mengesahkan bahawa perlawanan terpusat untuk Kumpulan G akan berlangsung dari 21 Jun hingga 7 Julai di Thailand.
Pohang Steelers pada musim lepas (2020) Liga Korea Selatan menduduki tangga ketiga dibelakang Ulsan Hyundai (Kumpulan F) dan Jeonbuk Motors (Kumpulan H). Namun pada musim ini mereka berada di kedudukan tangga keenam liga mengutip tujuh mata melalui lima perlawanan.

Manakala Ratchaburi musim ini yang bersambung dari musim lepas, menduduki tangga keenam Liga 1 Thailand. BG Pathum yang diundi dalam Kumpulan F berada di tangga teratas liga. Diogo Santo, bekas pemain JDT beraksi dengan pasukan BG Pathum.
Thailand telah dipilih oleh AFC untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan Kumpulan F, G dan J.
JDT dijadualkan akan memulakan perlawanan menentang Nagoya Grampus pada 21 Jun. Ia diikuti dengan perlawanan menentang Ratchaburi pada 24 Jun. Perlawanan terakhir JDT di peringkat kumpulan adalah pada 6 Julai sekali lagi menentang Ratchaburi.
Juara setiap kumpulan dan tiga naib juara terbaik akan mara ke peringkat pusingan 16.
Kumpulan F : BG Pathum (Thailand), Ulsan Hyundai (Korea Selatan), Viettel (Vietnam) dan pemenang play-off 2.1
Kumpulan G : Pohang Steelers (Korea Selatan), Nagoya Grampus (Jepun), JDT (Malaysia) dan Ratchaburi (Thailand)
Kumpulan H : Jeonbuk Hyundai (Korea Selatan), Gamba Osaka (Jepun), Tampines Rovers (Singapura) dan Sydney FC (Australia)
Kumpulan I : Kawasaki Frontale (Jepun), Beijing Guon (China), United City (Filipina) dan pemenang play-off 2.4
Kumpulan J : Guangzhou (China), Port FC (Thailand), Kitchee FC (Hong Kong) dan pemenang play-off 2.2