Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui berminat ingin memiliki sebahagian sahan atau pegangan dalam kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Perkara itu telah dimaklumkan TMJ yang juga merupakan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam sesi soal jawab bersama peminat di laman Instagram miliknya, hari ini.
“Saya baru ada perbincangan minggu lalu mengenai perkara itu. Hanya pegangan kecil. Walaupun kelab besar. Seperti saya katakan, saya terbuka untuk apa saja peluang,” kata TMJ menjawab soalan adakah beliau berminat membeli saham dalam Manchester United.
Apabila diminta komen mengenai persembahan Manchester United musim ini, TMJ menjawab: “Tidak cukup bagus. Ed Woodward (naib pengerusi eksekutif kelab) harus digantikan dengan saya.”
Dalam satu perkembangan lain, TMJ mendedahkan terdapat perbincangan untuk beliau memiliki pegangan dalam kelab bola sepak Sepanyol, Valencia.
“Selamat ulang tahun Valencia. Ya, ada perbincangan dengan pemilik Valencia untuk saya memiliki pegangan dalam kelab itu.
“Tapi ia tertangguh kerana kerumitan dan beberapa isu yang perlu diselesaikan,” kata TMJ menjawab kepada satu soalan adakah beliau akan membeli Valencia.
Pada sesi itu, TMJ juga menegaskan tidak menyalahkan Bergson Da Silva dan Gonzalo Cabrera yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika terikat 1-1 dengan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam semalam.
“Tak ada tuah dan boleh berlaku dalam bola sepak. Tetapi kedua-dua pemain terbaik dan banyak memberi sumbangan yang positif kepada kelab.
“Saya tak nilai pemain dari penalti. Selepas perlawanan semalam saya pesan kepada pemain – permainan yang bagus, tidak bernasib baik, pandang ke depan dan perlawanan itu sudah di belakang kita,” kata TMJ.
Selain itu, TMJ turut menjawab persoalan mengenai ketiadaan bintang baharu JDT, Mohamadou Sumareh dalam senarai bagi aksi menentang Selangor.
“Mohamadou Sumareh cedera. Tapi sekarang kembali berlatih dan akan mendapat kecergasan perlawanan tidak lama lagi,” katanya.
Artikel Penuh : Berita Harian // Foto : The Photoshooterz