Peminat bola sepak negara sudah tentu akan berasa lega dan teruja apabila mereka akan dibenarkan hadir ke stadium untuk menonton perlawanan saingan Liga Malaysia (MFL) bermula 1 April ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan kebenaran itu juga meliputi kehadiran penonton ke stadium bagi semua kejohanan sukan dengan beberapa syarat tertentu.
Beliau berkata, hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.
“Kebenaran itu juga tertakluk kepada kawalan penyeliaan sepanjang masa,” kata Ismail Sabri dalam sidang media di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan itu turut berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), Selasa lalu, selepas mendengar pembentangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai permohonan kemasukan penonton ke stadium atau lokasi acara sukan.
“Atas pandangan serta penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), mesyuarat telah bersetuju membenarkan kehadiran penonton dengan syarat yang ditetapkan.
“SOP yang perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara dalam talian sahaja, penjarakan fizikal minima 1.5 hingga 2 meter di antara setiap penonton dan operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium sahaja.

“Selain daripada itu, perkara yang amat perlu diberi perhatian adalah pergerakan masuk dan keluar penonton secara berjadual dan tersusun,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kebenaran itu akan berkuatkuasa mulai 1 April dengan dua acara perlawanan bola sepak dalam MFL yang akan dibenarkan dahulu sebagai perintis dan percubaan atau proof of concept.
Selain itu, beliau berkata, KBS, MKN dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan itu nanti.
Artikel Penuh : Berita Harian // Foto : The Photoshooterz