Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Selangor FC apabila kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan seri 1-1 sehingga tamat perlawanan. Kedua-dua pasukan berjaya membawa pulang satu mata. JDT masih kekal berada di tangga teratas berkongsi sembilan mata dengan Terengganu FC (TFC) setelah TFC juga seri dengan Melaka United di Kuala Terengganu.
JDT memulakan perlawanan malam ini dengan memasukkan pemain import baharunya, Bergson da Silva dan pemain muda JDT, Arif Aiman dalam kesebelasan utama mereka.
JDT dikejutkan oleh Selangor pada awal permainan setelah Patrick Ifedayo berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias pada minit ke-7 menjadikan kedudukan 1-0.
Bergson tidak mengambil masa lama untuk mengikat kedudukan 1-1 setelah merembat kencang masuk ke dalam kanan gol Selangor pada minit ke-11 perlawanan itu tidak dapat diselamatkan oleh penjaga gol Selangor, Khairul Azhan. Gol tersebut diperoleh hasil hantaran Gonzalo Cabrera di sebelah kiri melorongkan bola cantik kepada Bergson.
Bergson berjaya menjaringkan gol pada minit ke-38 melalui sepakan lipatan gunting namun tidak dibenarkan oleh pengadil kerana dua pemain JDT telah pun offsaid terlebih dahulu.
Pada minit ke-41 Arif Aiman dijatuhkan dalam petak penalti. Namun sepakan penalti yang diambil oleh Gonzalo Cabrera melambung tinggi.
Pada masa tambahan separuh masa pertama, JDT berpeluang mendahului namun tandukan cantik Bergson terkena palang gol Selangor. Kedudukan kekal kedua-dua pasukan terikat dengan keudukan 1-1.
Pada separuh masa kedua, Syahmi hampir menewaskan Faraizal Marlias pada minit ke-58, namun rembatannya sedikit tersasar.
Pada minit ke-77, Arif Aiman sekali lagi dijatuhkan buat kali kedua. Bergson pula diberi tugas mengambil sepakan itu namun ia dapat diselamatkan oleh penjaga gol Selangor, Khairul Azhan.
JDT menggandakan serangan di akhir perlawanan. Dua percubaan yang baik dari Leandro Velazquez dapat diselamatkan oleh Khairul Azhan yang bertindak cemerlang malam ini.
Perlawanan seterusnya bagi JDT adalah menentang Perak di Stadium Ipoh pada 21 Mac ini untuk minggu kelima.
Kesebelasan JDT:
Farizal Marlias, Matthew Davies, Afiq Fazail, Aidil Zafuan (C), Bergson da Silva, Leandro Sebastián Velázquez, Gonzalo Cabrera, La’Vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Maurício dos Santos Nascimento , Arif Aiman Hanapi
Simpanan:
Izham Tarmizi, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Hariss Harun, Ramadhan Saifullah Usman, Hazwan Bakri, Akhyar Rashid