Perlawanan minggu keempat saingan Liga Super musim ini selain dari keputusan yang agak mengejutkan, seorang pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman menjadi topik bulan hangat.

Buat pertama kali musim ini, Arif Aiman disenaraikan dalam kesebelasan utama JDT ketika menentang Selangor FC malam tadi. Sebelum ini, beliau hanya beraksi sebagai pemain gantian dalam kesemua tiga perlawanan.

Penampilan sepenuh masa itu diperoleh apabila Safawi Rasid terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang dialami beliau dalam perlawanan sebelum ini.

Jelas kelihatan permainan yang ditunjukkan oleh Arif Aiman amat menggerunkan pertahanan lawan. Lebih-lebih lagi apabila beliau bergerak memasuki petak penalti lawan.

Dalam perlawanan menentang Selangor FC sebentar tadi, Arif Aiman dijatuhkan dua kali di dalam kotak penalti dan seterusnya pengadil pada malam tadi tidak teragak-agak menghadiahkan penalti kepada JDT.

Namun dua hadiah sepakan penalti untuk JDT itu tidak menjamin kemenangan bagi JDT. Kedua-dua sepakan penalti tersebut yang masing-masingnya diambil oleh Gonzalo Cabrera dan Bergson da Silva gagal disempurnakan pemain tersebut. Agak malang buat JDT malam ini kerana terpaksa berkongsi satu mata dengan Selangor.

Arif bukan setakat pencetus penalti sahaja, setiap gerakan dan hantaran bola dari kaki Arif Aiman tampak begitu cemerlang. Beliau beberapa kali berjaya meloloskan diri dan sentiasa mengkucar-kacirkan pertahanan Selangor.

Malam ini beliau dinaikkan pangkat berada dalam kesebelasan utama dan bermain penuh masa walaupun hanya beraksi selepas ketiadaan Safawi Rasid atau pun Mohamadou Sumareh yang masih belum diberi peluang beraksi mahu pun disenaraikan.

Apa yang dapat dilihat, Arif Aiman tidak kekuk beraksi bersama rakan senior dalam JDT dan tidak gentar berdepan dengan pertahan lawan sama ada paemain tempatan atau pun import. Gerak laku beliau di atas padang seolah-olah beliau sering berada dalam kesebelasan utama JDT. Tiada sifat gementar bagi pemain berusia 18 tahun itu.

Beliau juga telah mencatat rekod JDT apabila menjadi penjaring JDT termuda pada usia 18 tahun 10 bulan mengatasi rekod Hadin Azman yang ketika itu berumur 18 tahun 11 bulan.

Gol yang dijaringkan oleh Arif Aiman dalam perlawanan menentang pasukan UiTM FC pada Sabtu lepas merupakan jaringan sulung beliau diserap bersama JDT pada musim lepas. Jaringan itu juga adalah jaringan gol JDT yang paling awal (minit ke-11) sehingga kini bagi musim ini.

Foto : The Photoshooterz