Adakah Sumareh Calon Terbaik Ganti Safawi ?

Benjamin Mora, ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), menyatakan tidak bimbang apabila pasukannya akan melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini tanpa kelibat Safawi Rasid.

Safawi mengalami kecederaan lutut ketika beraksi menentang UiTM FC, Sabtu lalu dan dijangka akan berehat sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu. Beliau terpaksa dikeluarkan seawal minit ke 11 perlawanan dan digantikan dengan Arif Aiman.

Bagaimanapun Mora menjelaskan dia memiliki sekurang-kurangnya lima pilihan pemain lain yang dilihat mampu mengisi kekosongan posisi sayap kanan yang ditinggalkan oleh Safawi itu.

“Pasukan JDT masih mempunyai Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid untuk diturunkan,” kata Benjamin Mora.

Adakah Sumareh diberi peluang beraksi menggantikan Safawi malam ini ? Ia semua bergantung kepada kebijaksanaan Mora membuat perancangan rapi. Sumareh sehingga kini selepas tiga perlawanan Liga Super masih belum membuat sebarang penampilan bersama pasukan baharunya.

“Malah Nazmi Faiz Mansor juga boleh bermain di posisi itu. Saya sememangnya belum tahu lagi untuk menurunkan siapa sebagai pengganti Safawi.

“Saya bernasib baik kerana pemain ini sentiasa beraksi dengan begitu cemerlang jika diberi ruang. Semua ini hanya berkenaan pemain dan saya hanya bertindak sebagai pemberi keyakinan kepada mereka.

“Safawi seorang pemain yang terbaik di dalam Malaysia, seperti mana yang saya pernah beritahu banyak kali sebelum ini. Tetapi inilah bola sepak, ada masanya anda perlu berehat untuk sembuh daripada kecederaan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel menegaskan dia perlu memilih barisan kesebelasan utama yang terbaik untuk berhadapan dengan JDT.

“Persiapan tetap sama, kami kena lakukan analisis permainan kami dan kami kena tingkatkan sesuatu. Kita perlu tunjukkan kepada pemain apa yang bagus mereka lakukan dan apa yang tidak bagus.

“Kami cuba berikan persembahan terbaik ketika berdepan dengan JDT nanti dan perlu memutuskan kesebelasan terbaik,” kata Karsten Neitzel.

Artikel Penuh : Berita Harian