Johor Darul Ta’zim (JDT) diramalkan tidak akan berdepan sebarang masalah untuk terus melebarkan rekod kemenangan walaupun akan berdepan gergasi Lembah Klang, Selangor di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Ini berdasarkan prestasi semasa selepas tiga perlawanan Liga Super musim ini, di mana skuad kendalian Benjamin Mora itu berjaya merekodkan kemenangan bersih dalam semua perlawanan serta meledak lapan gol dan tidak pernah dibolosi sebarang gol..

Rekod cemerlang JDT itu sudah cukup membuktikan bahawa ‘ngauman’ Harimau Selatan amat menggerunkan lawan terutama apabila beraksi di gelanggang keramat mereka sendiri, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Berbanding dengan Selangor, prestasi mereka boleh dilabelkan seperti yo-yo setelah menang sekali, tewas sekali dan seri sekali dan menyaksikan Red Giants meledak lima gol, namun dibolosi sebanyak lima kali.

Jika dilihat daripada rekod pertemuan kedua-dua pasukan itu dalam semua kejuaraan sebelum ini, ia jelas memihak kepada JDT yang mana kali terakhir Selangor berjaya mengatasi Harimau Selatan adalah pada 2017 dalam aksi Liga Super di gelanggang mereka sendiri.

Malah, kekalahan besar 1-6 di Stadium Sultan Ibrahim musim lalu pasti masih segar dalam ingatan pemain Selangor. Peristiwa pahit itu seharusnya menjadi motivasi buat anak buah Karsten Neitzel melancarkan misi membalas dendam terhadap JDT.

Bagi Wan Jamak Wan Hassan, bekas ketua jurulatih kebangsaan, beliau menyifatkan JDT mempunyai 70 peratus peluang untuk meraih kemenangan ke atas Selangor malam ini.

“Kalau kita tengok kepada keputusan tiga peralwanan awal musim in, sudah menceritakan segala-galanya. Tiga perlawanan tanpa bolos, itu mencerminkan kemantapan pasukan JDT.

“Tapi kita tak boleh kata juga kalau Selangor ‘naik hantu’ malam ini. Kita tak tahu. Namun dengan perlawanan yang begitu padat, pada saya jurulatih tidak cukup masa untuk perbaiki keadaan pasukan mereka.

“Apa yang dapat dilakukan jurularih sama ada mengubah taktikal atau menukar pemain yang tidak memberikan persembahan terbaik dengan harapan nasib menyebelahi mereka, macam Selangor juga mereka perlu harap kepada nasib.

“Tapi macam JDT ini kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka kerana semua posisinya mantap. Kekuatan pemain utama dan simpanan juga seimbang.

“Jadi ketiadaan Safawi Rasid akibat kecederaan, tidak mencacatkan JDT kerana mereka ada ramai pemain simpanan yang bagus seperti Mohamadou Sumareh.” kata Wan Jamak  kepada wartawan BH Sukan.

JDT kini berada di puncak Liga Super selepas mengumpul sembilan mata, manakala Selangor pula di kedudukan keempat dengan empat mata.

Selain itu, Wan Jamak turut menganggap jurang kekuatan antara dengan pasukan lain sangat jauh, kecuali Terengganu FC (TFC) yang menunjukkan prestasi konsisten musim ini.

“Selangor pula dalam keadaan kurang baik ketika ini, jadi percaturan terbaik perlu dilakukan jurulatih mereka untuk mengimbangi pasukan JDT.” kata Wan Jamak.

Artikel Penuh : Berita Harian // Foto : The Photoshooterz