Pertemuan yang dianggap menarik esok antara Johor Darul Ta’zim (JDT) san Selangor FC dalam saingan Liga Super minggu keempat. 

Perlawanan itu antara sentuhan Latin atau `DNA’ Jerman dengan Benjamin Mora. Taktikal jurulatih yang mana yang mampu mencorak permainan ampuh bagi memburu kemenangan malam esok di Stadium Sultan Ibrahim ?

Pertembungan dua gergasi bola sepak negara ini sudah tentu dinantikan peminat bola sepak tanah air dengan skuad Harimau Selatan dibimbing Benjamin Mora manakala Karsten Neitzel mengendali Selangor FC.

Dalam aksi itu nanti, Mora bakal melakukan rombakan kecil barisan pemainnya selepas peledak sensasi, Safawi Rasid bakal tersisih akibat cedera ketika aksi menentang UiTM FC di Shah Alam minggu lalu.

Ketiadaan pemain kebangsaan itu dijangka akan diisi pemain muda, Arif Aiman Mohd Hanafi yang telah mencuri tumpuan ketika membantu JDT menumpaskan skuad kendalian Frank Bernhardt 4-0, menerusi satu jaringan diawal perlawanan.

Selain dari itu Benjamin Mora juga mempunyai pilihan sama ada menyenaraikan Ramadan Saifullah Usman atau Mohamadou Sumareh beraksi di posisi sayap kanan dan pastinya ia tidak akan merencatkan perancangan untuk meneruskan momentum kemenangan.

Mora juga dilihat lega dengan kualiti permainan import baharu yang dipinjamkan dari kelab Liga Brazil, Fortalez iaitu Bergson da Silva yang pantas dapat menyesuaikan diri beraksi bersama barisan pemain lain.

Seandainya pemain itu diturunkan dalam kesebelasan utama, ia pasti ujian buat pemain tersebut untuk membantu skuadnya memburu kemenangan keempat berturut-turut selaku penyerang utama skuad Harimau Selatan.

Posisi tengah juga menjadi tanda tanya sama ada Mora akan mengekalkan Safiq Rahim yang tampak konsisten menguasai permainan dan mampu mencorak gerakan berbahaya hingga mengundang cemas buat pasukan lawan.

Namun info terkini, melalui ciapan Safawi Rasid pagi tadi, beliau menyatakan semua dalam keadaan baik dan tak sabar mahu turun ke padang. 

Artikel Penuh : Berita Harian / Foto : The Photoshooterz