Benjamin Mora, ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), menyifatkan keakraban barisan pemainnya telah membantu penyerang baru mereka, Bergson da Silva, untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan.
Ianya selepas skuad Harimau Selatan itu mempamerkan aksi cemerlang ketika membenam cabaran UiTM FC 4-0 di Shah Alam semalam.
Bergson Da Silva, yang diperkenalkan selaku pemain baru JDT pada Rabu lepas, menjaringkan gol lewat permainan dalam penampilan sulungnya, selepas 17 minit menggantikan Fernando Rodriguez.
Benjamin Mora berpuas hati dengan prestasi anak buahnya walaupun telah merombak kesebelasan utamanya berbanding dua perlawanan lalu, di mana Adam Nor Azlin, Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim dan S. Kunanlan antara yang disenaraikan.
“Dia (Da Silva) mempunyai sesuatu yang istimewa mengenainya. Dia seorang pemain berbakat.
“Perkara paling penting adalah dia tampil dan dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama pemain tempatan dan staf.
“Suasana di JDT bukanlah mudah untuk anda menyesuaikan diri tetapi dia dapat melakukannya sejak hari pertama. Dia dapat bergurau dengan pemain lain dan kelihatan baik di bilik persalinan.
“Sudah pasti ia membantunya dan apabila dia turun ke padang, dia dapat melakukannya dengan amat baik.
“Ia bukanlah perlawanan yang mudah buatnya dengan padang yang basah, licin dan UiTM juga memberikan cabaran dengan amat kuat dan terjahan keras.
“Apapun, dia dapat mencari jalan dan menjaringkan gol yang cantik.
“Ia satu gol yang amat cantik dan dia dapat membantu pasukan, jadi saya fikir kita pasti dapat melihat sesuatu yang lebih baik daripadanya selepas ini,” kata Mora.
Bergson menjaringkan gol ketiga JDT malam itu dengan menggunakan kaki kirinya di luar kotak penalti. Gol tersebut hasil hantaran satu dua dengan Nazmi Faiz Manaor.
Artikel Penuh : Stadium Astro / Foto : JOHOR Southern Tigers