Pemilik Johor Darul Ta,zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memohon penyokong bola sepak negara tidak terlalu risau dengan kecederaan yang dialami Safawi Rasid ketika skuad Harimau Selatan membelasah UiTM 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.
Baginda menjelaskan dan mendedahkan kecederaan yang dialami Safawi hingga dikeluarkan seawal minit kelapan yang menyaksikan bintang Harimau Malaya itu menitis air mata menahan kesakitan bukanlah kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut memberi jaminan bahawa pemain sayap yang berguru selama tiga bulan di Portugal itu sebelum ini akan kembali beraksi bersama pasukan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
“Jangan risau, Alhamdullilah bukan ACL. Kita hanya bermain di ACL (Liga Juara-Juara Asia), itu sahaja.
“Terima kasih, dua atau tiga minggu lagi…Insya-Allah ok,” jawab ringkas daripada Tunku Ismail dalam media sosial.

Dalam perlawanan yang dikuasai oleh JDT di Stadium UiTM, Shah Alam, Safawi mendapat kecederaan ketika cuba melepasi pemain tengah tuan rumah, Mohamad Syafiq Al-Hafiz Dawawi pada minit kelapan.
Kecederaan tersebut membuatkan pemain terbaik negara ketika ini tidak dapat meneruskan permainannya dan digantikan dengan pemain muda, Arif Aiman.
Arif Aiman tidak mengambil masa yang lama untuk membuka jaringan pertama perlawanan malam tadi.
Kemenangan 4-0 itu menyaksikan JDT terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super dengan mengutip sembilan mata daripda tiga perlawanan dan memberi isyarat awal mereka mahu mempertahankan kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut.