Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pastinya mahu memburu kemenangan ketiga berturut-turut apabila membuat kunjungan menentang UiTM FC pada saingan Liga Super di Stadium UiTM, malam ini.
JDT melakar kemenangan dalam dua aksi lalu dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 dan Penang FC dengan jaringan sama ketika beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, baru-baru ini. Kini skuad kendalian Benjamin Mora akan bertandang ke gelanggang lawan dengan impian membawa pulang tiga mata penuh.
Pastinya perancangan rapi dilakukan pengendali JDT, Benjamin Mora itu bagi mengelakkan diri tidak terperangkap dengan taktik permainan skuad kendalian Frank Bernhardt yang kebanyakannya dibarisi pemain baharu yang mampu menggugat peluang JDT untuk kekal di persada liga.
“Secara jujurnya, saya tidak mahu mengambil pendekatan apa yang berlaku ketika aksi musim lalu. Ya… kami menang 2-1 musim lalu tapi ia hanya aksi satu perlawanan sahaja dan kami tidak bertandang ke Shah Alam akibat jadual liga dipendekkan hanya satu pusingan.
“Kami dibarisi pemain baharu dan berwajah baru, sudah tentu kami akan turun dengan semangat yang baru namun dalam pemburuan mencari tiga mata, kami harus berwaspada dengan ancaman UiTM FC yang turut dibarisi pemain baharu.
“Mungkin UiTM FC akan tampil dengan corak permainan yang berbeza kerana jurulatih mereka sudah tentu mahukan kemenangan pertama buat pasukan itu yang masih belum mengutip sebarang mata selepas beraksi dalam dua perlawanan,” katanya.
Benjamin Mora menganggap skuad The Lion Troops cukup `berahsia’ kerana UiTM FC mampu tampil dengan corak permainan taktikal yang menarik dan ada ketika mereka akan beraksi dengan cara bertahan dan semua itu boleh mengganggu perancangan taktikal JDT.
Mora masih enggan mengesahkan sama ada Bergson da Silva, pemain import baharu skuad Harimau Selatan dari Brazil akan diturunkan atau tidak pada perlawanan itu memandang beliau baru sahaja menjalani latihan selepas menamatkan tempoh kuarantin.
“Kita akan tengok keadaannya sama ada bersedia atau tidak diturunkan menentang UiTM FC kerana dia baru sahaja menjalani latihan bersama pemain lain dan kesesuaian untuk mengenali corak permainan rakan sepasukan perlu sedikit masa,” kata Mora.