Liridon Krasniqi, bintang naturalisasi Malaysia, berjaya membuat penampilan pertama beliau dalam saingan Liga Australia selepas diturunkan beraksi bersama kelab barunya, Newcastle Jets.
Liridon, 29, yang mendapat kerakyatan Malaysia pada Februari tahun lalu, masuk bermain sebagai pemain gantian menggantikan Angus Thurgate pada minit ke-85 sewaktu Newcastle ketinggalan 1-2 kepada Sydney FC di Stadium Netstrata Jubilee petang tadi.
“Liri (Liridon) sudah berlatih selama tiga minggu. Dia seorang pemain yang berbeza kerana memiliki skil kemahiran tersendiri,” kata Craig Deans, ketua jurulatih Newcastle Jets, sebelum aksi menentang Sydney baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, kemasukan pemain tengah yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat banyak membantu Newcastle biarpun kelab tersebut mencipta 58 peratus penguasaan permainan berbanding Sydney.
Dalam aksi itu, Newcastle Jets berjaya membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi Luksa Prso pada minit ke-21 sebelum Sydney bangkit menyamakan kedudukan melalui Milos Ninkovic pada minit ke-64.
Impian Newcastle Jets untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila Sydney berjaya meledak gol kedua sekali gus menjadi jaringan kemenangan perlawanan menerusi Alex Wilkinson ketika aksi berbaki 10 minit sebelum tamat.
Seorang lagi pemain JDT yang dipinjamkan ke pasukan Newcastle Jets adalah Syahrian Abimanyu, pemain muda Indonesia. Namun beliau masih belum tersenarai dalam senarai pemain dalam sebarang perlawanan.
Selain Liridon, dua lagi tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan yang kini mewakili Perak FC dan bek kanan JDT, Matthew Davies masing-masing pernah beraksi dalam kancah liga negara berkenaan tetapi ketika itu mereka berdua masih memegang pasport Australia.
Sebagai rekod, Brendan pernah mewakili Sydney dari 2008 hingga 2011, manakala Davies menyarung jersi Perth Glory selama dua musim dari 2013 hingga 2015.
Selepas perlawanan tersebut, Newcastle Jets menduduki tangga dua terbawah Liga Australia dengan mengutip hanya 11 mata daripada 12 perlawanan. Menduduki tangga ke-12 dan terbawah adalah Melbourne Victory.