Buat pertama kali Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi di tempat lawan musim ini apabila bertandang ke Shah Alam menentang UiTM FC untuk perlawanan ketiga Liga Super.

Johor Darul Ta’zim (JDT) membariskan permain yang berlainan dengan dua perlawanan sebelumnya. Safiq Rahim, Adam Nor Azlin, Nazmi Faiz Mansor dan S. Kunanlan pertama kali diberi kepercayaan dan pertama kali musim ini berada dalam kesebelasan utama JDT.

Malang buat JDT yang terpaksa mengeluarkan Safawi Rasid di awal permainan pada minit kelapan berikutan kecederaan yang dialami oleh beliau dan digantikan dengan pemain berusia 19 tahun, Arif Aiman.

Arif Aiman, pemain muda JDT itu tidak mengambil masa yang lama di atas padang untuk mencipta jaringan pertama perlawanan pada minit ke 11. Sentuhan pertama Arif dengan kemahiran yang baik menggelecek dan menyelusup masuk ke dalam kotak penalti seterusnya menolak bola masuk ke dalam pintu gol UiTM FC. 

Jaringan tersebut turut mendapat pujian daripada pengulas sukan, Shahrom Kalam sebagai jaringan ‘world class’ dari Arif Aiman.

Empat minit kemudian, giliran Gonzalo Cabrera pula menambah jaringan JDT pada minit ke 15, setelah berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti UiTM FC. Beliau sebelum itu membuat percubaan namun dihalang oleh pertahanan UiTM FC namun bola melantun balik ke kaki beliau dan penjaga gol gagal menghalang jaringan tersebut.

JDT jelas banyak mengawal dan mendominasi perlawanan. Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama dengan JDT mendahului 2-0 terhadap UiTM FC.

JDT membuat pertukaran sebaik sahaja memulakan separuh masa kedua dengan memasukkan seorang lagi pemain muda, Ramadhan Saifullah menggantikan Gonzalo Cabrera.

UiTM FC mengubah permainan di separuh masa kedua dengan mencipta beberapa serangan bahaya namun pertahanan JDT yang diketuai oleh Mauricio Nascimento berjaya menghalang percubaan penyerang mereka.

Bergson da Silva, pemain import baharu JDT akhirnya berjaya membuat penampilan pertama setelah dimasukkan di minit ke 63 menggantikan Fernando Rodriguez.

Pada minit ke 70, sekali lagi Arif Aiman mempunyai peluang di hadapan pintu gol UiTM FC namun rembatannya melambung atas palang gol.

Fahmi Sabri hampir menjaringkan gol buat UiTM FC pada minit ke 71 namun rembatan kuatnya di luar kotak penalti JDT sedikit tersasar.

Bergson da Silva yang baru dimasukkan tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan keadaan apabila berjaya menjaringkan gol sulongnya melalui penampilan pertamanya pada minit ke 81.

Melalui hantaran bantuan dari Nazmi Faiz Mansor, Bergson berjaya melepaskan rembatan kencang kaki kirinya di sebelah kiri gol UiTM. Kedudukan 3-0 itu membuatkan JDT lebih selesa dalam perlawanan itu.

Gol jaringan pemain import baharu JDT, Bergson da Silva

JDT menambah siksa UiTM FC malam ini apabila berjaya menjaringkan gol keempat JDT melalui pemain gantian, Syamer Kutty Abba pada minit ke 3 masa tambahan. JDT selesa mengatasi UiTM FC dengan jaringan 4-0 di tempat lawan.

Dengan kemenangan JDT 4-0 mengatasi UiTM FC malam ini, JDT berjaya mengutip tiga lagi mata penuh dan seterusnya kekal berada di tangga teratas liga. Terengganu FC (TFC) yang sebelum ini berada di tangga kedua mengekori JDT akan berdepan Perak malam esok.

Sekali lagi sehingga perlawanan minggu ke 3, JDT masih belum menyenaraikan pemain baharunya, Mohamadou Sumareh untuk beraksi. Besar kemungkinan dan menjadi harapan penyokong JDT untuk melihat aksi sulong beliau bersama pasukan JDT.

Perlawanan selepas ini adalah menentang pasukan Selangor pada 17 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Kesebelasan Utama JDT : 

Farizal Marlias (C), Adam Nor Azlin, Safiq Rahim, Gonzalo Cabrera, S. Kunanlan, Nazmi Faiz, La’Vere Corbin-Ong, Safawi Rasid, Natxo Insa, Maurício dos Santos Nascimento , Fernando Rodriguez Ortega

Simpanan

Izham Tarmizi, Matthew Davies, Afiq Fazail, Syamer Kutty Abba, Aidil Zafuan, Bergson da Silva, Hariss Harun, Ramadhan Saifullah Usman, Arif Aiman Hanapi

Foto : JOHOR Southern Tigers