Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali lagi memberikan bayangan untuk mengambil alih kelab La Liga, Valencia.

Terkini, melalui ciapan di laman Twitternya, semalam, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) kelihatan masih belum mengalah untuk memiliki pegangan dalam Valencia walaupun Presiden kelab, Anil Murthy menjelaskan bahawa kelab itu tidak untuk dijual.

Walaupun dalam ciapannya tidak menyebut secara jelas mengenai mana-mana kelab, namun ramai yang beranggapan ia mempunyai kaitan dengan Valencia.

Malah, ciapan yang dibuat TMJ itu turut mendapat banyak reaksi daripada warga Sepanyol dan ada yang berharap impian beliau memiliki kelab itu menjadi kenyataan.

“Saya ada ramai rakan dalam bola sepak. Namun, tiada siapa yang mengetahui pelan dan niat saya. Orang pertama yang akan tahu adalah pasukan saya, dan juga penyokong.

“Penyokong berhak tahu kerana kelab ini milik anda. Saya boleh memiliki pegangan, tetapi kelab tetap milik penyokong. Saya hanya sekadar penjaga.

“Ia adalah pendapat peribadi dan mengenai prinsip, terutama sebagai orang asing dan jika saya memiliki pegangan. 

“Tanggungjawab saya ialah untuk memastikan kelab memberi cabaran pada tahap terbaik kerana kelab ini kaya dengan sejarah dan seharusnya berada di kedudukan sepatutnya, supaya rakyat di bandar ini boleh berbangga.”

Mellui satu lagi ciapan, TMJ menjelaskan beliau tidak akan membazirkan wang jika tidak percaya projek itu boleh dilakukan.

“Pertama, saya bukan ahli perniagaan. Mengapa perlu saya bazirkan wang dan belanjakan di negara asing. Jika saya melakukannya, ia kerana cabaran dan projek yang saya percaya,” kata TMJ.

Sebelum ini, perkongsian TMJ di laman Instagram mengenai kemungkinan bakal membeli Valencia mendapat perhatian meluas sehinggalah ke media Sepanyol.

Namun, spekulasi itu dilihat reda selepas Murthy dilaporkan berkata pemilik Valencia, Peter Lim tiada hasrat untuk menjual kelab itu.

Spekulasi TMJ berminat untuk memiliki Valencia sebenarnya sudah mula kedengaran beberapa tahun lalu selepas beliau mengadakan pertemuan bersama Lim.

Sumber : Berita Harian