Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat rekod dan sejarah bola sepak negara apabila berjaya telah mengesahkan penyertaan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) di peringkat kumpulan secara merit buat kali ketiga dan tiga tahun berturut-turut sejak 2019.

Sebelum itu JDT telah menyertai ACL bermula dari tahun 2015 hanya di peringkat kelayakan dan play-off sahaja. Pencapaian terbaik JDT di peringkat tersebut adalah pada tahun 2017 di mana JDT melayakkan diri sehingga ke peringkat play-off bertemu  Gamba Osaka namun kemaraan JDT tersekat. 

Pada musim ini, ACL 2021, JDT telah diundi berada dalam kumpulan G bersama Jiangsu (China), Nagoya Grampus (Jepun) dan pemenang play-off antara Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Ratchaburi Mitr (Thailand).

Namun, menurut laporan dari media Thailand, Ratchaburi dan Pohang Steelers mendapat ‘bye’ ke peringkat kumpulan ACL2021 bagi menggantikan tempat kelab China, Jiangsu Suning. Kelab dari China itu menarik diri dipercayai susulan daripada masalah kewangan.

Sekiranya ia benar dan disahkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), maka pasukan yang ditempatkan dalam Kumpulan G nanti adalah JDT, Nagoya Grampus, Ratchaburi dan Pohang Steelers.

Ini bermakna dua pasukan dalam Kumpulan G adalah datangnya dari pasukan yang sepatutnya bertembung dalam play-off.

Pengumuman dari AFC menetapkan perlawanan di peringkat kumpulan akan berlangsung di satu venue sahaja. Semua perlawanan dalam Kumpulan G akan berlangsung di Thailand yang dipilih sebagai tuan rumah. Thailand turut menjadi tuan rumah perlawanan bagi Kumpulan F dan J.

AFC juga telah meminda tarikh perlawanan ACL 2021 bagi zon Timur yang pada asalnya dijadualkan bermula pada 21 April hingga 7 May. Ia akan dipinda bermula pada Jun hingga Julai nanti.