Enam perlawanan minggu pertama saingan Liga Super yang berlangsung sengit minggu lepas, mencatat jumlah melebihi 2.5 juta tontonan di aplikasi YouTube dengan aksi pembuka tirai antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), meraih tontonan tertinggi.
Kejayaan JDT mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan KDA FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim itu pada Jumaat lepas, telah mencatat jumlah tontonan sebanyak 626,385 setakat 4.30 petang Selasa.
Jumlah tontonan kedua tertinggi adalah pertembungan antara Selangor FC dan Sri Pahang FC yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) setelah kemenangan 3-1 skuad Gergasi Merah merekodkan 578,602 tontonan.
Ia kemudian diikuti oleh 374,367 tontonan bagi perlawanan sengit melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menentang Terengganu FC, yang menyaksikan pasukan pelawat berjaya membawa pulang tiga mata penuh di Stadium UiTM di Shah Alam dengan kemenangan 2-1.
Perlawanan antara Perak FC dan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan tanpa jaringan tidak kurang hebatnya, setelah merekodkan 332,147 tontonan.
Kemenangan 1-0 Penang FC ke atas Kuala Lumpur City FC pula, hasil jaringan tunggal David Rowley di Stadium Bandaraya memperoleh 300,432 tontonan, manakala aksi Melaka United FC menentang Sabah di Stadium Hang Jebat berakhir dengan keputusan seri 1-1 mendapat 289,194 tontonan.
Perlawanan Liga Super 2021 disiarkan unifi menerusi saluran unifi Sports 701-705, aplikasi unifi PlayTV serta saluran YouTube unifi di https://www.youtube.com/c/unifiistheone/featured.
** Sehingga kini, kemaskini menunjukkan JDT mencatat rekod tontonan melebihi 1 Juta selepas dua perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Foto : The Photoshooterz