Kesukaran menguasai posisi tengah menjadi punca utama kenapa Johor Darul Ta’zim (JDT) sering diberi tekanan Penang FC (PFC) apabila terpaksa menanti sehingga penghujung perlawanan untuk memulakan jaringan dan seterusnya melakar kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Super minggu kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar, malam tadi.
Benjamin Mora selaku pengendali JDT, mengakui barisan pemain Tomas Trucha kerap mematikan gerakan di barisan tengah dengan memberi tekanan sehingga sukar buat Natxo Insa, Leandro Velazquez dan Afiq Fazail bebas dengan bergerak.
Mora berkata, bukan sahaja pasukan lawan beri tekanan di posisi tengah, benteng pertahanan PFC juga begitu kemas menutup ruang untuk Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera menyusup masuk melepasi pertahanan mereka dan melakukan serangan berbahaya.
“Ruang agak terhad terutama di posisi tengah untuk pemain saya bergerak dan terpaksa menarik keluar pemain lawan daripada berada dalam keadaan yang kompak dan cara itu barulah pemain saya mampu menyusup masuk dengan lebih agresif dan hasilnya dua gol berjaya dijaringkan.
“Saya tidak nafikan pemain lawan pantas bertukar posisi untuk membantu rakan masing-masing dan berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya sehingga menyebabkan pemain JDT tampak beraksi dalam tekanan.
“Apapun, Natxo, Afiq dan Leandro tidak tertipu dengan helah barisan pemain lawan selepas mereka bersungguh-sungguh menguasai posisi tengah dan anda lihat sendiri beberapa umpanan berbahaya mampu dilakukan kepada Fernando Rodriguez, bekas pemain JDT II, dan Safawi,” kata Benjamin Mora.
Bagaimanapun, Mora tetap berasa lega selepas sasaran mencatat dua kemenangan berturut-turut pada saingan liga elit domestik membuahkan hasil selain dua perlawanan yang diharungi benteng masih kebal apabila tidak dibolosi.
JDT berjaya mengharungi dua perlawanan awal Liga Super musim ini dengan rekod bersih kemenangan dan tanpa dibolosi sebarang gol. Tahniah kepada Farizal Marlias yang berjaya mengekalkan rekod ‘clean sheet’.
Mora apabila ditanya mengenai persembahan Safawi yang agak tenggelam selepas kerap diasak dua dan tiga pemain lawan, Mora menegaskan Safawi akan berdepan situasi itu pada aksi seterusnya dan dia harus segera menyesuaikan diri dengan corak permainan keras pemain lawan.
“Safawi kena biasakan diri apabila turun beraksi pada perlawanan seterusnya kerana dua atau tiga pemain lawan akan mengekori rapat pergerakannya dan dia kena tahu bila untuk bermain dengan pantas dan pastikan bola tidak hilang.
“Apapun saya percaya Safawi Rasid belajar dengan pengalaman yang dilalui. Dia seorang pemain yang bermotivasi malah kerap akan bangkit memperbaiki kesilapan,” kata Mora.
Sumber : Harian Metro. / Foto : Penang FC