Pulau Pinang menghormati reputasi hebat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, namun mereka sedikit pun tidak gentar apabila akan berdepan Harimau Selatan dalam aksi kedua Liga Super malam ini.

Pengendali Pulau Pinang yang terkenal dengan julukan, ‘Jurgen Klopp Malaysia’, Tomas Trucha percaya, beliau mempunyai barisan pemain yang mampu memberi saingan kepada JDT serta memberi kejutan kepada gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.

Gandingan baik pertahanan yang diketuai Ryuji Utomo dan Rafael Vitor akan menjadi sandaran Pulau Pinang untuk mengekang jentera serangan JDT, manakala Samuel Somerville mampu menjadi benteng terakhir.

Samuel Somerville merupakan bekas pemain JDT II untuk beberapa musim sebelum berhijrah ke pasukan Pulau Pinang.

“Saya sememangnya menantikan pertemuan menentang JDT kerana apabila menentang lawan yang kuat, kita boleh nampak di mana tahap sebenar pasukan kita dan nilai segala kelemahan selepas perlawanan itu.

“Kami juga sudah mempunyai perancangan dan taktikal untuk memberi kesukaran kepada JDT. Pulau Pinang tidak akan mudah tewas,” katanya semalam.

Menurut Tomas Trucha, beliau berpuas hati dengan prestasi baik pasukannya ketika menumpaskan Kuala Lumpur City 1-0, Sabtu lepas untuk mengutip tiga mata pertama liga.

“Kami adalah pendatang baharu Liga Super, JDT pula menjuarai kejuaraan ini tujuh kali berturut-turut. Sudah tentu kami menghormati mereka tapi dalam masa sama, kami tidak perlu rasa sebarang tekanan,” kata Tomas Trucha.

Perlawanan malam ini antr JDT dan Pulau Pinang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pukul 9.00 malam tanpa kehadiran penonton.

Sumber : Utusan Malaysia