Penang FC memaksa Johor Darul Ta’zim (JDT) bermandi peluh sebelum JDT menang 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Dalam pertembungan juara Liga Super berdepan dengan juara Liga Perdana musim lalu, pengendali JDT, Benjamin Mora mempertaruhkan barisan yang sama dan mengekalkan formasi 4-3-3 semasa menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 , Jumaat lepas.

Percaturan Benjamin Mora hampir membuahkan hasil pada minit ke-15 setelah Safawi Rasid yang menerima hantaran Leandro Velazquez melepaskan rembatan namun sedikit tersasar.

Malang buat Mauricio Dos Santos, pertahanan JDT, yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-22 selepas bertembung dengan pemain Penang FC ketika perebutan bola di udara. Adam Nor Azlin dimasukkan untuk bergandingan bersama kapten Aidil Zafuan Abd Radzak.

Babak pertama kelihatan seimbang apabila kedua-dua pasukan buntu mencipta serangan berbahaya tatkala permainan sering berlegar di kawasan tengah dengan skuad kendalian Tomas Trucha pantas mematikan gerakan barisan pemain tengah tuan rumah yang dterajui oleh Velazquez, Natxo Insa dan Afiq Fazail.

Tuan rumah hampir mendahului pada minit ke-47 setelah bola lorongan Corbin Ong gagal disudahkan oleh Fernando Rodriguez yang hanya berdepan penjaga gol pelawat, Samuel Somerville yang juga bekas penjaga gol JDT II.

Pasukan pelawat memiliki peluang terbaik pada minit ke-52 selepas hantaran lintang Casagrande tepat kepada Endrik Dos Santos yang merembat kencang di dalam kotak penalti namun tepat ke dakapan penjaga gol , Farizal Marlias.

Tindakan Somerville yang sengaja mengasari Gonzalo Cabrera di dalam kotak penalti mengundang padah selepas pengadil, S Logeswaran tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti pada minit ke-80 dan Velazquez mudah menyempurnakannya.

Ketika aksi berbaki lima minit, berpunca daripada lorongan pemain gantian, Safiq Rahim yang ketika itu dalam keadaan tidak stabil membuka ruang buat Rodriguez menolak bola masuk menewaskan Somerville sekali gus memastikan kemenangan 2-0 memihak tuan rumah.

JDT berjaya mengutip tiga mata penuh dalam dua perlawanan berturut-turut hasil daripada dua kemenangan. JDT kini melonjak ke tangga teratas Liga Super 2021 dengan mengutip enam mata. 

Ia diikuti dengan pasukan Terengganu setelah menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Sultan Nasiruddin, Kuala Terengganu.

Dalam perlawanan pembukaan sebelum ini, JDT telah berjaya menewaskan Kedah FC juga 2-0 pada Jumaat lepas pada perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim.

Kelibat Mohamadou Sumareh dan pemain import baharu JDT, Bergson da Silva masih belum kelihatan untuk membuat penampilan pertama bersama JDT.

Perlawanan ketiga Liga Super seterusnya bagi JDT adalah pada hari Sabtu,13 Mac ini menentang UiTM FC  Stadium Mini UITM, Shah Alam.

Kesebelasan JDT : 

Farizal Marlias, Matthew Davies, Afiq Fazail, Aidil Zafuan (C), Leandro Sebastián Velázquez, Gonzalo Cabrera, La’Vere Corbin-Ong, Safawi Rasid, Natxo Insa, Maurício dos Santos Nascimento , Fernando Rodriguez Ortega

Simpanan : 

Izham Tarmizi, Adam Nor Azlin, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Hariss Harun, Ramadhan Saifullah Usman, Hazwan Bakri, Nazmi Faiz, Arif Aiman Hanapi