Walaupun Liga Super baru memasuki perlawanan pertama, namun permainan cantik Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memberi isyarat awal trofi liga utama bola sepak tempatan itu mampu kekal di bumi Johor untuk tempoh lebih lama.

Sasaran merangkul kejuaraan kelapan berturut-turut dilihat tidak mustahil bagi skuad kendalian Benjamin Mora, yang mempa­mer permainan pantas serta hantaran-hantaran pendek dalam perlawanan yang menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) 2-0 pada aksi Sumbangsih kelmarin.

Rudie Ramli yang merupakan pengulas sukan dan bekas pemain kebangsaan berkata, Harimau Selatan juga mempunyai barisan kedua yang kuat, malah ketika ini masih belum menurunkan ‘senjata’ baharu, Bergson Da Silva yang baru tiba dari Brazil.

“JDT menguasai perlawanan ketika menentang Kedah. Mereka bermain pantas dan menggunakan banyak hantaran pendek yang kemas selain memberi tekanan sebaik saja hilang bola menyebabkan lawan sukar memegang bola terlalu lama.

“Ketiadaan Diogo Luis Santo memberi sedikit kesan. Tahun lalu, dia memainkan pera­nan No. 9 dengan baik, bukan saja menjaringkan gol tetapi mencipta peluang.

“Kedatangan import baharu juga dari Brazil (Bergson), mungkin mampu mengisi kekosongan Diogo. Misi mengekal kejuaraan Liga Super kelapan berturut-turut bukan mustahil,” kata Rudie Ramli kepada wartawan Mingguan Malaysia.

Lagenda bola sepak negara, Khalid Ali pula percaya, JDT mampu mempertahankan Liga Super untuk lima hingga 10 tahun lagi jika pasukan-pasukan lain gagal melakukan perubahan drastik.

“Pasukan lain kena berubah, kalau masih tiada perubahan…saya rasa tiada masalah lagi 5 hingga 10 tahun untuk JDT kekal sebagai juara.

“Saya rasa Sela­ngor, Pahang dan mungkin ­Perak dilihat mampu mencabar JDT, tapi hala tuju JDT tampak bukan saingan tempatan, lebih kepada ACL (Liga Juara-Juara Asia).

“Bagus, mereka satu-satunya pasukan yang berbelanja untuk menaikkan imej bola sepak negara,” ujar Khalid Ali.

Buat Mora, selain gembira dengan kejayaan mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut, beliau turut teruja dengan melihat Safawi Rasid meledak gol pada hari ulang tahunnya yang ke-24.

“Sebelum perlawanan, Safawi janji kepada saya akan menjaringkan gol sempena hari kelahirannya, dia mengotakan janjinya,” kata Benjamin Mora.

Sumber : Utusan Malaysia / Foto : The Photoshooterz