Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merangkul trofi yang ke 12 kelmarin setelah membenam Kedah 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam merebut Piala Sumbangsih.
Apa yang dapat disaksikan dalam perlawanan tersebut adalah prestasi Safawi Rasid sepanjang 50 minit beraksi sebelum dikeluarkan akibat kecederaan.
Mutu permainan penyerang kebangsaan tersebut, Muhammad Safawi Rasid semakin meningkat selepas bersama Portimonense SC, kelab bola sepak Portugal, selama tiga bulan pada musim lepas, kata Benjamin Mora, Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT).
Peluang Terbaik Safawi
Benjamin Mora berkata Safawi memiliki peluang terbaik untuk belajar melalui pengalaman dengan sebuah pasukan yang bersaing di dalam antara liga teratas Eropah serta memahami kehendak di peringkat yang tertinggi.
“Jika Safawi tidak meningkat selepas berlatih di Portugal, maka itu hanyalah membuang masa.
“Safawi berpeluang untuk ke tempat lain bagi melihat sendiri bagaimana latihan dan kehendak yang perlu dipenuhi, saya rasa beliau tahu apa yang perlu dibuat,” katanya selepas perlawanan Piala Sumbangsih malam kelmarin.
Hadiah Hari Lahir Safawi
Safawi Rasid menjaringkan gol pada hari lahirnya yang ke-24, membantu JDT mengekalkan piala itu buat empat musim berturut-turut selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin.
Safawi berpindah ke Portimonense SC Oktober lepas tetapi tidak berpeluang untuk melakukan aksi sulungnya di Liga Primeira itu dan hanya memanaskan bangku simpanan pasukan bimbingan jurulatih Paulo Sergio.
Bagaimanapun beliau diturunkan buat kali pertama dalam pasukan Portimonense SC bawah 23 tahun (B-23) tetapi ia tewas 1-3 kepada Sporting Lisbon dalam pertandingan Liga Portugal Bawah 23 tahun.
Safawi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada tahun 2018 dan 2019 dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kemudian kembali semula menyertai skuad Harimau Selatan.
“Beliau sering melakukan kelainan dengan sepakan percuma, penalti dan sepakan untuk jaringan gol. Bagi saya Safawi seorang pemain hebat dan adalah aset penting JDT. Syukur kami mendapat beliau kembali dan membantu kami untuk menang dan hari ini (kelmarin) terbukti, beliau bermain dengan baik,” kata jurulatih berusia 41 tahun yang berasal dari Mexico itu.
Sumber : Berita Harian Sukan