“Tidak mudah untuk tewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang memiliki kekuatan tersendiri.”

Begitulah kata pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora yang mengakui bahawa barisan pemainnya berdepan tugas berat sebelum mencipta kemenangan 2-0 pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah, di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin.

Katanya, skuad KDA FC membariskan dua penyerang import, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang dianggap mampu beri tekanan di benteng JDT dan bijak menghidu peluang untuk mencemaskan gawang JDT..

“Tapi kami membuat persiapan rapi dan turun dengan pemain lebih tersusun dan setiap pemain tahu dan faham tugas yang harus mereka lakukan malah kurang membuat kesilapan yang membolehkan pasukan lawan ambil kesempatan.

“Kami tidak bernasib baik apabila gagal menjaringkan gol awal selepas percubaan Leandro (Velazquez) dan Gonzalo (Cabrera) terkena palang gol dan ia telah mencetuskan lebih keyakinan kepada pemain untuk terus memberi tekanan dan hasilnya gol yang dicari terhasil pada babak pertama.

JDT meraikan gol kedua merebut Piala Sumbangsih. Foto : The Photoshooterz

Formasi Kedah Berubah

“Pada aksi itu, formasi KDA FC juga berubah apabila turun bukan dengan formasi 4-4-2, sebaliknya mereka beraksi dengan corak 4-2-3-1 dan kemudian berubah formasi ke 4-1-2-3 apabila pemain nombor 8 (Rabih Ataya) bergerak di posisi sayap dan tengah,” kata Benjamin Mora..

Pengendali dari Mexico itu menegaskan, barisan pemainnya tidak beraksi dengan corak permainan yang padu namun tetap optimis pemain skuad Harimau Selatan itu akan kembali konsisten selepas hanya membuat persiapan singkat menghadapi musim baharu kempen Liga Malaysia (Liga M).

“Saya akui kami belum berada di tahap 100 % namun kemenangan pertama dan mengekalkan piala berkenaan empat musim berturut-turut adalah satu permulaan yang cukup membanggakan. Malah ia akan memberi satu motivasi tinggi setiap pemain,” kata Benjamin Mora.

Foto : The Photoshooterz