Anil Murthy, Presiden Valencia, semalam menegaskan Peter Lim, pemilik kelab, tidak bercadang menjual pasukan La Liga itu walaupun terdapat minat daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Anil Murthy berkata, beliau ada berbincang dengan Peter selepas Tunku Ismail memuat naik kenyataan dalam Instagram Story milik TMJ kelmarin, namun jutawan dari Singapura itu tidak bercadang untuk melepaskan milikannya.
“Rakan sekerja saya telah memberitahu mengenai kenyataan TMJ dalam Instagram. Saya telah berbincang dengan Peter dan beliau tidak ada perancangan untuk menjual kelab ini,” kata Anil Murthy kepada Football ESPANA.
Walau bagaimana pun, tindakan Johor Southern Tigers (JST) memuat naik gambar Tunku Ismail sedang mengadakan rundingan dengan Presiden La Liga, Javier Tebas semalam menimbulkan beberapa tanda tanya.
JST dalam Twitternya pula memuat naik empat keping gambar TMJ sedang mengadakan sidang video bersama kapsyen: “Tunku Ismail Sultan Ibrahim membincangkan beberapa perkara dalam sidang video bersama Presiden La Liga, Javier Tebas hari ini (semalam).”
Adakah perbincangan tersebut berkaitan pembelian kelab tersebut atau sekadar meminta pandangan berkenaan dengan bola sepak atau sebaliknya ?
Di hujung status tersebut turut ditulis ‘Luaskan Kuasamu Johor’.
Sebelum ini, Peter Lim membeli kelab Valencia dengan harga 420 juta euro (RM2.05 bilion) pada 2014. Jumlah tersebut adalah termasuk hutang yang ditanggung juara La Liga enam kali itu, sebanyak 200 juta euro (RM976.92 juta).
Tunku Ismail dalam Instagramnya telah berkongsi beberapa statistik mengenai Valencia seperti nilai semasa kelab, selain kejayaan yang pernah diraih oleh pasukan yang dimiliki jutawan Singapura itu, Peter Lim.
Kenyataan Tunku Ismail : ‘Saya mahu mengembangkan empayar, melebarkan sayap dan bersedia dengan cabaran baharu’ membuatkan peminat bola sepak tanah air tertanya-tanya apakah baginda berminat untuk membeli kelab Valencia yang kini menduduki tangga ke-14 dalam liga utama Sepanyol.
“Apa yang diperlukan oleh Valencia? Kamu memerlukan seseorang yang tahu tentang bola sepak, dahagakan kejayaan, mempunyai keghairahan dan tahu apa yang diperlukan kelab besar seperti Valencia.
“Pertama sekali, kita perlukan orang bola sepak dalam kelab. Nokhtah,” tulis Tunku Ismail.
Artikel Penuh : Utusan Malaysia