Benjamin Mora, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), tidak mahu meletakkan kejayaan pada musim lalu sebagai ukuran. Sebaliknya pemburuan merangkul Piala Sumbangsih ibarat piala pertama yang ingin dimenangi.
Bagi Mora, pastinya pertembungan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi pembuka tirai Liga Super dan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini ibarat pertembungan buku dan ruas.
Katanya lagi, persiapan rapi dilakukan sepanjang sesi latihan sebelum ini walaupun terpaksa berlatih di Johor namun beberapa perlawanan pemanas badan bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dilihat memberi kesan terutama kekuatan fizikal dan mental pemain.
“Walaupun kami telah menang beberapa piala pada musim lalu, tapi saya tidak mahu meletakkan pencapaian lalu sebagai penanda aras. Sebaliknya saya anggap ia piala pertama yang kami buru dan cuba sedaya upaya untuk memenangi dan mengutip tiga mata.
“Memang pemain kurang mendapat minit perlawanan yang kompetitif tapi kami sudah merangka latihan secara agresif selain beberapa perlawanan bersama JDT II dan juga aksi antara sesama sendiri dan ia dilihat memberi kesan positif dalam persiapan pasukan,” kata Mora.
Apabila ditanya sama ada pemain import JDT II, Fernando Rodriguez akan diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi menentang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak malam ini, pengendali kelahiran Mexico sekadar memaklumkan bahawa pemain import dari Brazil itu sudah menjalani latihan bersama JDT.
“Kita tengok bagaimana keadaannya nanti, sama ada Fernando akan diturunkan atau tidak kerana selain pemain itu kelibat Hazwan Bakiri dan Syafiq Ahmad menunjukkan peningkatan yang baik pada sesi latihan dan ini beri ruang kepada saya membuat pilihan.
“Untuk pertembungan menentang Kedah, kami mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit dan cuba elak daripada sepakan penalti kerana saya tidak gemar sepakan penalti. Memang menggerunkan,” kata Benjamin Mora.
Sumber : Harian Metro