Diam tak diam, tinggal hampir 24 jam sahaja lagi Liga Super Malaysia akan bermula malam esok. Setelah mendapat kebenaran dari pihak kerajaan, esok akan dimulakan dengan perebutan Piala Sumbangsih yang juga merupakan perlawanan pembuka tirai Liga Super.
Kedua-dua pasukan, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijadualkan akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.
Kelab penyokong Kedah melalui Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) mengharapkan bekalan motivasi yang mengiringi pasukan KDA FC ke Johor malam esok bakal membantu mereka memenangi perlawanan Sumbangsih kali ini.
Mohd Safarizal Mohd Sobri yang merupkan jurucakap GULM, berkata kejayaan merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan mengatasi juara Liga Super, JDT itu penting dalam memulakan langkah positif skuad Lang Merah menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
“Kami sebagai kelab penyokong sentiasa membekalkan semangat buat pasukan dan tidak mengharapkan apa-apa balasan atau ganjaran. Cukuplah kami dihadiahkan dengan kemenangan sekali gus membawa pulang piala itu selepas kali terakhir empat tahun lalu.
“Inilah bekalan semangat yang kami tiupkan selama ini untuk semua pemain KDA FC agar sentiasa berjuang berhabis-habisan dalam memburu kejayaan yang diidamkan,” katanya di sini, hari ini. GULM ketika ini dianggotai 25 kelab penyokong bola sepak di Kedah.
Safarizal turut berkata walaupun penyokong belum dibenarkan masuk ke stadium buat masa ini, pihaknya yakin pemain mampu menyerap semangat penyokong seolah-olah mereka sentiasa bersama sepanjang perlawanan malam itu.
“Kepada pasukan Kedah, walaupun anda bermain dalam stadium tanpa penyokong, namun anda tidak perlu bimbang kerana anda tidak bersendirian. Penyokong Kedah tetap ‘ada’ di mana-mana dan kami sentiasa berdoa dari kejauhan”.
“Berjuanglah demi lencana didada, demi negeri Kedah dan demi semua penyokong yang mengharapkan kejayaan pada musim ini. Kami mengharapkan mereka melangkah dengan penuh harapan, dan pulang membawa kejayaan. Pulun Kedah Pulun,” kata Safarizal.
KDA FC dan JDT dijadual berentap di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok bagi pembukaan saingan Liga M musim 2021 menerusi perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.
Perlawanan akan bermula pukul 9.00 malam dan akan disiarkan secara langsung melalui siaran unifi di youtube.
Pasukan KDA FC telah pun selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai petang tadi.