Johor Darul Ta’zim (JDT) dianggap memiliki 75 peratus peluang untuk menang dan mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) buat kali keempat berturut-turut apabila melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi sulong Liga Super 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Peratusan itu diberikan oleh bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berdasarkan beberapa faktor termasuk dari segi kualiti barisan pemain yang dimiliki JDT, persiapan pasukan dan kelebihan mereka beraksi di laman sendiri.

Azlan Johar bagaimanapun tidak menolak kemungkinan KDA FC boleh mencipta kejutan di ‘kandang’ Harimau Selatan sekiranya mereka bijak mengatur strategi dan mampu mengambil peluang mencipta jaringan.

“Apa saja perlawanan, yang penting persiapan. Ada nama besar pun dalam sesebuah pasukan tidak cukup, jadi saya rasa JDT membuat persiapan lebih rapi kerana mereka memiliki pusat latihan terbaik dan tertutup.

“Kemenangan banyak memihak kepada mereka, beraksi pun tempat mereka iaitu stadium yang mereka sudah biasa. Tetapi kita tak boleh memandang rendah kepada KDA FC.

“Saya rasa Kedah sedia maklum bahawa peluang untuk menang sangat tipis. Tapi jika mereka berjaya mengatur strategi dengan betul, 25 peratus itu boleh menjadi 75 peratus kepada mereka.

“Kedah kena pandai bertahan dan JDT pula perlu faham bahawa setiap kali mereka menyerang, bahagian pertahanan akan pincang. Jadi terpulang kepada Kedah untuk mengambil peluang itu,” kata Azlan kepada wartawan BH Sukan.

Ini merupakan kali keempat JDT dan Kedah akan berentap pada aksi sumbangsih dalam tempoh lima tahun berturut-turut yang mana kali terakhir Helang Merah merangkul kejuaraan pada 2017 menerusi penentuan sepakan penalti.

Selain itu, Azlan Johar turut menyifatkan terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan JDT kalah iaitu pemain terlampau yakin, melepaskan peluang mencipta jaringan dan gagal menggunakan kesilapan yang dilakukan oleh Kedah.

“Keyakinan itu penting tapi kita juga tak boleh terlampau yakin. Jangan lupa walaupun kita mempunyai pasukan yang baik, kita tetap harus mengeluarkan peluh dan peluh itu bukan kata hanya peluh yang macam kita berjoging.

“JDT juga perlu mengelak daripada melepaskan peluang yang dicipta dan gagal menggunakan kesilapan yang dilakukan pasukan Kedah jika tidak mahu mengalami kekalahan,” kata Azlan.

Sumber : Berita Harian / Foto by The Photoshooterz