Andrea Radrizziani, seorang jutawan dari Itali telah dikaitkan antara pencabar utama Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor untuk membeli sebuah kelab LaLiga, Valencia FC yang dianggarkan bernilai 408 juta euro atau bersamaan RM1.99 bilion.

Menurut laporan media Sepanyol, akhbar Marca, Radrizziani turut berminat untuk memiliki saham Valencia. Beliau juga adalah pemilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United.

Walau bagaimanapun sehingga kini, masih tiada lagi sebarang pengumuman rasmi daripada Radrizziani. Berbanding Tunku Ismail yang membayangkan kemungkinan bersedia untuk mendapatkan skuad The Bats atau dalam bahasa Sepanyol, Los Murcielagos itu.

Andrea Radrizziani, pemilik Leeds United

Sungguh pun begitu, ramai pemerhati melihat peluang Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih cerah untuk memiliki Valencia memandangkan hubungan akrabnya dengan pemiliknya ketika ini, iaitu Peter Lim dari Singapura.

Hubungan kedua-dua tokoh itu bukan rahsia buat peminat bola sepak di seluruh dunia. Ia apabila difahamkan Peter Lim antara mentor Tunku Ismail ketika mula-mula beliau membina pasukan JDT.

Malahan, kedua-duanya (TMJ dan Peter Lin) juga sering menghadiri majlis bola sepak bersama termasuk ketika bertemu di Turin, Itali pada tahun lalu. Pertemuan itu turut disertai pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo dan ejen pemain, Jorge Mendes.

Valencia, ketika ini menduduki kedudukan ke-14 La Liga selepas memperoleh 27 mata melalui 25 perlawanan. Ia hanya dibezakan dengan lima mata daripada zon penyingkiran.

Situasi tersebut nyata tidak disenangi oleh penyokong Valencia yang tidak berpuas hati terutama dengan tindakan Peter Lim yang membiarkan penghijrahan beramai-ramai pemain utama ke pasukan lain hingga menjejaskan prestasi pasukan.

Sumber : Harian Metro / Foto : The Photoshooterz