Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), mungkin melebarkan portfolionya dalam bola sepak bersama kelab Sepanyol, Valencia.
Sejak beberapa tahun lalu, terdapat spekulasi bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), yang merupakan rakan karib kepada Peter Lim, pemilik Valencia,, akan mengambil alih Valencia dan perkara berkenaan kini semakin diperkuatkan melalui kiriman terbaru Instagram Story TMJ.
“Saya bukan baru dalam bola sepak, saya telah mencipta sebuah kelab daripada bergelut dengan penyingkiran sehingga menjadi pasukan juara yang mendominasi. Saya telah memenangi 16 gelaran dalam lapan tahun. Kami pasukan terbesar di Asia Tenggara dan antara yang terbesar di Asia,” tulis TMJ.
“Saya bukanlah seseorang yang akan mengubah logo atau tradisi kelab anda. Saya seorang kerabat diraja dan bukannya ahli perniagaan. Saya ke sini untuk kegemilangan, kejayaan dan sejarah.
“Apa yang diperlukan Valencia? Anda memerlukan seseorang yang tahu mengenai bola sepak, mahukan kejayaan, berminat dan memahami betapa besarnya Valencia sebagai sebuah kelab.”
Dalam satu kiriman berbeza, TMJ menulis bahawa beliau memiliki “dua hari untuk memikirkannya”.
Akhbar Sepanyol, Marca, menyatakan pengambilalihan pasukan juara enam kali LaLiga itu bernilai sekitar €408 juta (RM1.9 bilion).
Valencia, kali terakhir mengecap kejayaan dengan menjulang trofi Copa Del Rey pada 2019, kini mereka hanya dibezakan lima mata daripada zon penyingkiran.