Selepas buat kali pertama dijemput menemui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada awal Februari lalu, pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew sekali lagi dijemput mengadap baginda semalam.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi, Ebit Lew telah menzahirkan rasa terharu dan gembira apabila Tunku Ismail sudi menemuinya sekali lagi.

Kata Ebit Lew, Tunku Ismail risau keadaan kesusahan serta penderitaan rakyat, banyak perkara dibincangkan semuanya mengenai kebaikan dan kepentingan rakyat.

“Terharu layanan mesra dan bersungguh-sungguh Tunku memberi kata semangat. Saya sendiri melihat Tunku dan Tuanku Sultan Johor setiap hari membantu rakyat.

“Teringat kisah Khalifah dulu yang memikirkan keadaan rakyat, subhanallah. Semoga Allah memberkati Tunku dan keluarga,” katanya di laman Facebook semalam.

Pada masa sama, Ebit Lew memaklumkan, Tunku dan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) turut memberi sumbangan sebanyak RM100,000.

“Baru-baru ini RM200,000, Tunku selalu mesej tanya ada apa yang perlu dibantu atau ada masalah apa-apa.

“Terasa malu dan segan, saya cuma orang biasa tetapi Tunku Ismail layan macam kawan-kawan sahaja. Allah sayang TMJ, semoga Allah terima jadi asbab kebaikan,” jelas Ebit Lew.