Sejumlah 8,600 helai jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) musim 2021 habis terjual hanya dalam tempoh empat jam, 30 minit selepas jualan dibuka pukul 11 pagi tadi.

Jualan jersi terbaharu JDT bagi musim 2021 secara dalam talian di JDT Store di laman web kelab JDT dan Shopee telah merekodkan hasil jualan RM1.6 juta.

Menurut laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, stok jersi akan ditambah dalam beberapa minggu akan datang.

“Dukacita dimaklumkan bahawa peruntukan untuk jualan atas talian kami di JDT Store di laman web kelab dan Shopee telah habis dijual. Kami juga berasa gembira dapat mencatatkan penjualan sebanyak RM1.6 juta.

“Rakan kongsi kami Nike juga akan mula menjual jersi ‘home’ mulai esok tetapi memandangkan sambutan yang begitu luar biasa oleh penyokong JDT, kami menjangkakan jersi-jersi di sana juga akan habis dijual,” kata JDT dalam satu kenyataan hari ini.

Penjualan jersi ‘away’ edisi pemain berwarna putih yang ditanggung sebahagian harganya oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dijual secara eksklusif melalui medium atas talian di JDT Store.

Tinjauan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini mendapati ramai penyokong tegar JDT sanggup beratur panjang dalam keadaan cuaca terik bagi mendapatkan jersi terbaharu pasukan bagi musim ini.

Sumber : Utusan Malaysia

Kredit Foto : Azmie B