Setelah dibayangi pandemik Covid-19 dan berehat hampir dua bulan, Liga Malaysia (Liga-M) akan kembali menemui peminat bulan depan apabila jadual rasmi perlawanan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Saingan akan berlangsung tanpa penonton seperti musim lalu, dan di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pertembungan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Ibrahim akan ‘merasmikan’ Liga M 2021 pada 5 Mac.

Pada keesokan harinya, empat perlawanan Liga Super akan berlangsung dengan pertembungan dua gergasi tanah air iaitu Selangor dan Sri Pahang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi tumpuan utama peminat.

Kedua-dua pasukan bakal bakal menyajikan corak permainan ‘ala Jerman’ apabila menggunakan sentuhan jurulatih import dari negara tersebut, Karsten Neitzel (Selangor) dan Thomas Dooley.

Turut berlangsung juga, UiTM FC menentang Terengganu FC dan Melaka United bertemu Sabah FC, manakala Perak FC akan menerima kunjungan Petaling Jaya (PJ) City FC.

Dalam saingan Liga Perdana, penampilan pendatang baharu, Skuad Projek FAM-MSN yang akan membariskan bakat-bakat muda Malaysia menjadi tumpuan peminat.

Skuad bimbingan Yusri Che Lah itu akan berdepan pasukan pembangunan, Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 6 Mac.

Penyokong The Red Warriors (TRW) sudah tentu tidak sabar untuk melihat Kelantan FC yang berwajah baharu di bawah jurulatih dari Itali menerima kunjungan Perak FC II yang sehingga kini kedudukan mereka masih tidak menentu.

Satu lagi wakil Kelantan iaitu Kelantan United  akan bertandang ke Sarawak untuk menentang Sarawak United FC.

Sumber : Utusan Malaysia