Tidak semudah itu untuk memiliki sesebuah kelab bola sepak di negara kita khususnya. Dan juga tidak semudah itu mencari sesebuah entiti yang boleh menjadi pemiliknya.

Kedua-dua pihak semestinya memahami situasi dan kehendak sesebuah kelab. Menjaga sesebuah kelab tidak sama seperti mengurus sesebuah syarikat. 

Tidak seperti kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang pada asasnya mempunyai misi membina dan memperkembangkan empayar bola sepak.

Kita melihat dan mengikuti sebuah pasukan di utara semenanjung yang mempunyai hasrat mencari pemilik kelab mereka yang akhirnya masih tercari-cari setelah tiada persetujuan dicapai antara dua pihak.

Pihak yang tidak berjaya dan ditolak permohonan mereka memberi alasan dan cuba memperbetulkan keadaan sebenarnya.

Flumen Holdings telah mendakwa kenyataan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengelirukan dan tidak memberi gambaran sebenar mengenai rundingan dalam hasrat mereka memiliki 80 peratus saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pengerusi Eksekutif Flumen Holdings, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman, berkata pihaknya mengakui ada memohon tanah daripada kerajaan negeri namun ia bukan secara percuma dan bukannya murah.

Katanya, syarikat itu (Fluminen Holdings) memohon tanah untuk dibangunkan untuk rakyat Kedah dan bukan untuk menanam durian Musang King atau menggali hasil nadir bumi.

“Dari awal, kami nyatakan kepada wakil Menteri Besar bahawa kami bersedia bincang mengenai harga, lokasi dan cara bayar. Rundingan dilakukan secara telus dan profesional dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sejak Januari lagi dan segalanya berjalan lancar dengan restu Menteri Besar khususnya dengan kerjasama Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Armishah Siraj.

“Bagi setiap urusan membabitkan bola sepak dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), saya berhubung terus dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkifli Haron. Sehingga pengumuman semalam, tiada langsung teguran atau rungutan dari PKNK atau Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail bahawa permohonan tanah ini tidak munasabah dan membalun tanah negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan KFA menamatkan rundingan bersama sebuah syarikat automatif yang sebelum ini berhasrat memiliki 80 peratus saham KDA FC.

Muhammad Sanusi, Presiden KFA berkata, perkara itu diputuskan selepas pihaknya tidak bersedia memenuhi beberapa permintaan syarikat terbabit yang dianggap terlalu besar baginya.

Antara permintaan itu adalah tanah yang masih berstatus pertanian hendak ditukar kepada tanah industri serta syarikat terbabit mahu memiliki Stadium Darul Aman yang diselia dan dimiliki oleh Perbadanan Stadium Negeri Kedah.

Mengulas lanjut, Ahmad Shaizuan berkata, pihaknya tidak sesekali membelakangkan undang-undang dalam proses rundingan tersebut.

Katanya, kenyataan Muhammad Sanusi bahawa pihaknya juga meminta stadium juga adalah kenyataan yang mengelirukan umum dan mencalarkan imej syarikat dan beliau secara peribadinya.

“Ini kerana seolah-olah menggambarkan stadium pun kami nak balun. Sebenarnya antara permohonan kami juga adalah pihak Menteri Besar mempertimbangkan untuk memberi konsesi hak menguruskan stadium di Suka Menanti yang kini menjadi padang latihan pasukan.

“Kami juga mohon dikecualikan bayaran sewaan Stadium Darul Aman yang begitu tinggi untuk tahun pertama sahaja supaya aliran tunai kelab positif sepanjang tahun pertama.

“Ini disebabkan jadual Liga Malaysia amat menakutkan semua pemilik kelab. Jika cadangan ini tidak dipersetujui, kami bersedia mempertimbangkan pilihan-pilihan lain. Malangnya sekali lagi sidang media Menteri Besar semalam dengan semberono menuduh kami meminta Stadium Darulaman,” katanya.

Ahmad Shaizuan turut menegaskan permohonan memajukan tanah dan hak menguruskan stadium hanyalah sebahagian dari pakej dan terma rundingan semata-mata supaya KDA FC dapat menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri untuk jangka panjang.