Lanjutan tarikh jendela perpindahan pertama bagi pemain Liga Malaysia (Liga-M) sehingga ke 5 Mac ini tiada kaitan dengan khabar angin perpindahan keluar penyerang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Jonathan Herrera.
Ketua Pegawai Eksekutif Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan telah menegaskan keputusan itu dilakukan setelah mereka membuat pertimbangan yang sewajarnya atas pandangan semua rakan kongsi liga.
Jelas beliau, dalam situasi pandemik yang memberi banyak kesulitan ketika ini, badan pengendali liga itu (MFL) perlu satu pendekatan untuk bertolak ansur bagi memastikan perjalanan liga dapat berjalan dengan lancar.
“Kita pun tak tahu mengenai perpindahan keluar Herrera. Sebenarnya kita sudah pun memohon lanjutan sehingga 19 Februari dan kemudiannya kita memohon lagi sehingga 15 Mac. Akhirnya kita dapat lanjutkan sehingga 5 Mac.
“Sebenarnya tempoh lanjutan ini untuk membantu semua rakan kongsi liga kerana ada antaranya sedang berdepan masalah dengan pemain import mereka dari segi dokumentasi, ada yang mahu bertukar pemain import selepas membuat penilaian dan sebagainya.
“Jadi, lanjutan ini akan memberi peluang untuk mereka menyiapkan pasukan yang lebih baik sebelum sepak mula nanti.” kata nya kepada wartawan BH Sukan, semalam.
Senelum ini, Jonathan Herrera yang juga merupakan pemain termahal Liga-M yang baru menandatangani kontrak bersama dengan skuad Harimau Selatan itu dikhabarkan akan dipinjamkan ke sebuah kelab Liga Argentina, Independiente.
Berikutan itu, ada penyokong yang mula membuat spekulasi di laman media sosial mengenai tempoh lanjutan sehingga 5 Mac itu mendakwa ia untuk membantu JDT mencari seorang lagi pemain import baharu bagi menggantikannya sebelum musim 2021 membuka tirai.
Sumber : Berita Harian