Tidak ada sebab venue aksi Piala Sumbangsih perlu diubah kerana ia milik juara Liga Super.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan selepas wujudnya dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan status Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan tuan rumah menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) menentang Kedah pada 5 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

“Tidak timbul isu ‘pilih bulu’ dalam menentukan hak tuan rumah kerana mekanisma pemilihan yang sama telah digunakan sejak bertahun lalu dengan gelanggang juara Liga Super diberi penghormatan memulakan liga.

Malah, aksi terbabit bukan semata-mata untuk merebut Piala Sumbangsih, sebaliknya ia juga adalah perlawanan Liga pertama bagi kedua-dua pasukan dengan pertemuan berikutnya akan berlangsung di tempat lawan pula.

“Kita dah lama guna kaedah ini. Juara Liga Super akan jadi tuan rumah kepada perlawanan pertama Liga Super yang turut mempertaruhkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih).

“Kalau musim lalu JDT juara Liga Super, maka JDT lah akan jadi tuan rumah. Jika tahun ini JDT juara Liga Super lagi, tahun depan akan main di tempat mereka juga.

“Jadi kalau ada pasukan lain nak jadi tuan rumah Piala Sumbangsih, kena jadi juara Liga Super tahun ini supaya tahun depan boleh main tempat mereka,” katanya lagi.

Sebagai rekod, JDT telah menjadi tun rumah aksi Piala Sumbangsih selama enam tahun berturut-turut sejak 2015. Tujuh tahun berturut-turut pada musim ini.

JDT berjaya merebut Piala Sumbangsih sebanyak 5 kali iaitu pada tahun 2015, 2016, 2018, 2019 dan 2020. JDT gagal pada tahun 2017 dalam aksi menentang Kedah apabila tewas 4-5 dalam penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan pada 5 Mac ini nanti menyaksikan perlawanan keempat JDT bertemu Kedah dalam merebut Piala Sumbangsih. 

Kredit Foto : The Photoshooterz