Terengganu FC (TFC) cuba ‘mengasah taji’ di Johor manakala pasukan ‘adik’ berstatus ‘feeder club’, Terengganu FC II (TFC II) akan ke Shah Alam sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Ketua Pegawai Operasi (COO), Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menyatakan, aksi pemanas badan di dua lokasi berbeza itu adalah bertujuan untuk menilai prestasi pemain dan pasukan selain memperbaiki kelemahan yang ada.
“Skuad TFC kendalian Nafuzi Zain bakal menyertai kejohanan empat penjuru membabitkan pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, Johor bermula malam ini.
“Pasukan TFC II kendalian Badrul Afzan Razali pula berkunjung ke Stadium UiTM Shah Alam untuk menyertai kejohanan Piala Bandaraya Shah Alam yang akan membabitkan tiga pasukan iaitu UiTM FC dan Perak FC bermula Jumaat ini.
“Kita harapkan kejohanan itu akan membuka ruang buat jurulatih kedua-dua pasukan untuk menganalisis kelemahan dan kekuatan yang ada sebelum sepak mula Liga M yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mac ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih TFC II, Badrul Afzan berkata, beliau akan memanfaatkan sebaik mungkin aksi pemanas badan itu untuk menilai prestasi pemain dan pasukannya sebelum pentas Liga Perdana bermula.
“Kita akan ‘berkampung’ selama seminggu di Shah Alam. Pada kejohanan itu nanti kita tidak mensasarkan kejuaraan, sebaliknya apa yang kita harapkan dapat menilai prestasi semasa pasukan sebelum kami buat ‘kerja rumah’,” katanya.
Sumbear : Berita Harian