Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengesahkan 11 kelab dari Liga Malaysia (Liga-M) sudah mengemukakan pengesahan permohonan Lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2022.

Kelab berkenaan termasuklah 10 wakil Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United FC, PJ City FC, Perak FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC, Terengganu FC, UiTM FC, Penang FC dan Kuala Lumpur United FC serta sebuah pasukan Liga Perdana, Sarawak United FC.

Pasukan Sri Pahang FC dan Sabah FC tidak memohon lesen AFC untuk musim depan.

Tarikh pengesahan permohonan bagi Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan telah ditutup pada 9 Februari lalu.

Lesen Kebangsaan

Dalam satu kenyataan hari ini, MFL berkata dalam masa yang sama semua 18 pasukan Liga M sudah membuat pengesahan permohonan untuk Lesen Kebangsaan yang membabitkan penyertaan untuk Liga Super dan Liga Perdana bagi musim depan.

Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) dibuka bermula, hari ini dengan setiap kelab diminta mengemukakan dokumen bermula dengan Kriteria Personel dan Pentadbiran (31 Mac 2021), Kriteria Undang-Undang (15 April 2021), Kriteria Sukan (31 Mei 2021), Kriteria Infrastruktur (15 Jun 2021), Kriteria Perniagaan (30 Jun 2021) dan Kriteria Kewangan pada 30 Julai 2021.

“Unit Pelesenan Kelab MFL memberikan informasi ini kepada awam untuk memastikan sebahagian pihak memahami berhubung perkembangan terkini berkaitan permohonan lesen bagi musim 2022 dalam pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC serta Lesen Kebangsaan yang membabitkan Liga Super dan Liga Perdana,” katanya kenyataan, itu.

Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, berkata pihaknya mengingatkan kepada kelab supaya dapat menyerahkan dokumen yang diminta mengikut susunan kriteria dan tarikh akhir yang telah ditetapkan.

“Jika ada sebarang kekeliruan atau pertanyaan, pegawai pelesenan kelab boleh menghubungi secara terus dengan Unit Pelesenan Kelab MFL,” katanya.