Selepas lebih dua bulan terlibat dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan anak, ibu mentua dan pembantu rumahnya, bintang penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad kini kembali menjalani latihan semalam.
Gambar Syafiq, 25, sedang berlatih di Padang Sri Gelam, Johor Bahru yang dimuat naik Facebook, Johor Southern Tigers mendapat lebih 1,700 sukaan (like) dan lebih 170 komen.
Rata-rata peminat menitipkan kata-kata semangat kepada Syafiq, seperti ‘Our hero is back!!!’, ‘Welcome back SA28’, ‘come back stronger’ dan ‘King of header is back’.
Melihat perkembangan itu, ramai yang yakin bintang Harimau Malaya tersebut sudah bersedia untuk diturunkan ketika JDT menentang Kedah FC dalam perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M), pada 5 Mac ini.
Dalam kejadian 6 Disember lalu, bayi lelaki Syafiq yang baru berusia 22 hari antara tiga maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap.
Turut juga terkorban, ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an, manakala isteri Syafiq, Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah.
Syafiq dan anak perempuannya, Aaira Nur Saffiya, 2, mengalami kecederaan ringan.