Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih mengekalkan peraturan pertukaran 5 pemain gantian dan 2 kali ‘drinks breaks’ dalam tempoh 90 minit aksi bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, berkata langkah itu sebagai alternatif untuk membantu jurulatih kelab dalam persiapan pasukan menjelang bermulanya Liga M 2021 pada 5 Mac ini.

Katanya lagi, MFL memahami kekangan tertentu kepada kelab selepas memiliki kira-kira 19 hari tempoh persiapan untuk melaksanakan program latihan berpusat yang bermula esok menerusi dua mekanisme iaitu ‘home’ dan ‘camp quarantine’.

Walau bagaimanapun, beliau berharap semua kelab terutama jurulatih memahami situasi yang dihadapi pihaknya dalam tempoh pandemik COVID-19 dan keputusan itu dibuat demi kepentingan kelangsungan Liga M.

“MFL mendengar keluhan daripada jurulatih berkaitan persiapan Liga M yang akan berlangsung pada 5 Mac ini. Namun MFL komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh (22 perlawanan).

“Kami tidak ingin mengambil risiko yang akan memberikan kesan kepada penajaan selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Piala Cabaran jika kalendar Liga M bermula lebih lambat.

“Menurut Artikel 6: Pindaan Khas Sementara Peraturan Permainan bagi pandemik COVID-19, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuat pindaan sementara bagi Peraturan Permainan FIFA IFAB yang meluluskan cadangan pindaan sementara bagi Undang-Undang tiga pemain simpanan.

“(Perkara 6.1.1) penganjur liga mempunyai pilihan sama ada mengguna pakai peraturan sementara ini atau sebaliknya (di mana) pekeliling pindaan sementara Undang-Undang 3 membenarkan pertukaran 5 orang pemain dalam satu perlawanan,” kata Datuk Ab Ghani Hassan.

Beliau berkata setiap pasukan juga boleh mendaftarkan tujuh hingga sembilan pemain di bangku simpanan selain MFL akan mempratikkan ‘drinks breaks’ sebanyak 2 kali dalam perlawanan.

“Saya berharap semua kelab akan terus memberikan sokongan kepada liga tempatan dan saya juga berharap peraturan ini dapat dimanfaatkan oleh semua jurulatih,” katanya.

Liga Malaysia 2021 :

  • 5 Pemain Gantian, 
  • 2 Kali ‘Drinks Breaks’
  • 7 hingga 9 pemain simpanan