Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh tiba-tiba menjadi pemain bola sepak Malaysia paling glamor dalam tempoh kira-kira seminggu lalu.
Boleh dikatakan nama pemain ini antra bahan berita paling laris dan sensasi di segenap laporan sukan dalam negara berikutan isu dengan bekas majikannya, Pahang dan penyertaannya ke pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT).
Keputusan Persekutuan Bolasepak Antrabangsa (FIFA) yang telah mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membayar sekitar RM4.9 juta kepada Sumareh menyebabkan namanya menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Mana tidaknya, angka itu dianggap jumlah paling besar ‘dimenangi’ pemain Malaysia, sekali gus ada yang melabel pemain berusia 26 tahun itu sebagai ‘jutawan segera’.
Hanya kita-kira 3 hari selepas berita hukuman FIFA ke atas PBNP tersebar, pengumuman JDT bahawa Sumareh kini sah milik mereka menambahkan lagi berita sensasi mengenai pemain kelahiran Gambia tersebut.
Walaupun ramai sudah menjangkakan kemasukan Sumareh ke dalam skuad Harimau Selatan, namun ia tetap menjadi berita yang bernilai tinggi dan melonjakkan dirinya di kedudukan teratas carta pemain Liga-M paling glamor ketika itu.
Menyertai pasukan yang dianggap paling tersohor dalam negara ketika ini dan dipenuhi pemain bertaraf bintang, ia sebenarnya menjadi permulaan yang paling mencabar buat Sumareh.
Sumareh bakal memikul harapan tinggi kelab dan penyokong, timbul juga beberapa persoalan yang mula dilontarkan beberapa pihak berkenaan adakah langkah pemain itu menyertai JDT satu keputusan yang berbaloi khususnya buat kerjayanya.
Jika melihat dari aspek kemudahan fasiliti termasuk stadium dan pusat latihan berkelas dunia yang JDT dimiliki, selain pengalaman di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan harapan cerah merangkul kejuaraan dalam Liga Malaysia (Liga M), mungkin ia berbaloi buat Sumareh.
Namun, cabaran terbesar buat Sumareh untuk memastikan perpindahannya benar-benar berbaloi ketika ini adalah jika dia boleh memikat hati barisan kejurulatihan yang diketuai Benjamin Mora untuk berada dalam kesebelasan utama skuad JDT.
Sebagai pemain kebangsaan dan memegang status naturalisasi yang mana tujuan utama diberikan kepadanya untuk menyumbang impak penting kepada skuad Harimau Malaya, minit permainan yang mencukupi sangat diperlukan Sumareh.
Oleh itu, pemain yang digelar ‘Keli Boy’ itu tidak boleh tenggelam atau banyak memanaskan bangku simpanan skuad Harimau Selatan bagi memastikan tidak hilang kepercayaan Tan Cheng Hoe, pengendali skuad kebangsaan.
Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan cabaran Sumareh ‘melawan’ rakan sepasukan merebut tempat dalam skuad utama skuad JDT sebenarnya tampak lebih rumit berbanding melawan pemain pasukan lawan dalam perlawanan.
Daripada senarai lengkap JDT musim ini yang diumumkan baru-baru ini, lawan Sumareh di sayap kanan bukan calang-calang iaitu pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018 dan 2019, Safawi Rasid serta bintang muda sedang meningkat, Ramadhan Saifullah Usman.
Safawi Rasid yang menyertai JDT sejak 2017, juga cukup serasi dengan posisi itu, nampaknya menjadi lawan utama Sumareh dan memiliki sedikit kelebihan dari segi pengalaman bersama Harimau Selatan.
Sumareh juga sebenarnya boleh beraksi di bahagian kiri, namun posisi itu juga kelihatan sukar buat Sumareh kerana perlu berdepan dengan bintang import yang bakal melengkapkan tahun kelima bersama JDT musim ini iaitu Gonzalo Cabrera.
Gonzalo Cabrera turut memegang rekod penjaring hol JDT terbanyak sepanjang zaman. Status itu sekurang-kurangnya menunjukkan kemampuannya di posisi tersebut.
Tiada jalan lain buat Sumareh selain perlu ‘mengaum’ lebih kuat berbanding bintang JDT yang lain seperti Safawi apabila memasuki ‘kandang’ skuad Harimau Selatan jika beliau mahu berada di posisi kegemarannya itu.
Jika berjaya mengatasi barisan bintang JDT dan mencuri status ‘ayam tambatan’ Benjamin Mora, barulah langkah Sumareh ke Harimau Selatan boleh dianggap benar-benar berbaloi buat dirinya, Harimau Selatan dan Harimau Malaya.
JDT juga sudah pasti mahu membuktikan pengambilan Sumareh yang dianggap sebagai perpindahan sensasi berbaloi dan tidak sia-sia.
Sekiranya Sumareh tenggelam atau tidak berjaya mengikuti segala falsafah yang diterapkan dalam skuad Harimau Selatan, ia bakal menimbulkan pelbagai kritikan pedas khususnya dari peminat bola sepak tanah air.
Apa yang pasti, pemain seperti Safawi perlu sama naik atau bersaing secara sihat bersama Sumareh kerana beliau juga perlu berada pada prestasi terbaik untuk membantu Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Namun, JDT sudah tentu mempunyai perancangannya tersendiri dengan mengambil Sumareh. Penggiliran adalah konsep yang selalu digunakan lebih-lebih lagi JDT akan beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang akan berlangsung secara karnival iaitu bermain di satu lokasi di perungkat kumpulan tiada timbal balik home dan away.
Dalam kaedah itu, jurang masa rehat antara satu perlawanan dengan perlawanan seterusnya sudah tentu rapat. Keletihan adalah satu faktor yang terpaksa dihadapi setiap pasukan. Begitu juga kemungkinan kecederaan.
Semua faktor itu mempunyai senarai pemain yang seimbang dan tidak mempunyai masalah sekiranya ada siapa-siapa yang tidak dapat diturunkan.