Kontrak legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda bersama bekas kelab Safawi Rasid, Portimonense SC ditamatkan hanya selepas lima hari.

Perancang utama berusia 34 tahun itu, yang pernah beraksi buat AC Milan, CSKA Moscow dan Botafogo sepanjang 17 tahun kariernya menandatangani perjanjian 6 bulan bersama kelab Liga Primeira dengan pilihan menyambung kontrak setahun.

Kehadiran Honda diumumkan dalam satu sidang akhbar minggu lalu dan Honda kelihatan bersedia bermain untuk kelab kesembilannya dengan harapan dapat mewakili Jepun pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Begitupun Portimonense yang kini menghuni tangga keempat tercorot liga gagal mendaftarkan Honda atas sebab birokrasi walaupun pemain itu menyertai mereka secara percuma.

Honda Tanpa Penampilan 

Perkembangan terbaharu itu menyebabkan pemain veteran Jepun itu kini tanpa kelab setelah bersetuju untuk mengikat perjanjian tanpa membuat satu pun penampilan.

Honda tetap berharap dapat mencari pasukan baharu secepat mungkin untuk membantunya menyarung jersi Jepun di Olimpik. Dia sudah beraksi 98 kali untuk negaranya sebelum mengundurkan diri dari tugasan antarabangsa pada 2018.

Pemain itu baru saja meninggalkan kelab Brazil, Botafogo, Disember lalu. Dia hanya menjaringkan 3 gol dalam 27 perlawanan ketika Botafogo mengalami penyingkiran ke Serie B.

Sebelum itu, Honda hanya bermain empat perlawanan untuk pasukan Belanda, Vitesse Arnhem, meninggalkan mereka setelah pemecatan pengurus Leonid Slutsky.

Honda muncul sensasi bola sepak ketika bermain buat CSKA Moscow antara 2010 dan 2014 dengan membantu mereka memenangi treble domestik pada 2013.

Dia  kemudian memperoleh perpindahan percuma ke AC Milan, menjaringkan 11 gol dalam 92 perlawanan ketika menjuarai Piala Super Itali 2016 sebelum menuju ke Mexico setahun kemudian.

Keadaan yang menimpa Honda itu seakan-akan mengulangi nasib yang diterima oleh penyerang kebangsaan Safawi Rasid yang pulang ke tanah air tanpa sempat beraksi walaupun satu perlawanan untuk skuad utama Portimonense.

Tempoh pinjamannya dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu telah dipendekkan dan beliau kini kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan bagi memulakan cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim baharu ini.

Perkembangan tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia sehingga ada yang bertindak menyerang akaun media sosial kelab berkenaan dan menuduh mereka sebagai ‘scammer’ yang hanya mahu meraih populariti dalam kalangan peminat bola sepak di benua asia.