Rekaan jersi musim baharu adalah antara perkara yang dinantikan oleh semua penyokong. Kebiasaaanya saban tahun, satu acara rasmi pelancaran jersi baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diadakan serentak di serata daerah seluruh negeri Johor. 

Pelancaran di setiap daerah akan dihidangkan tayangan ‘big screen’ yang membawa secara langsung majlis pelancaran di Dataran Johor Bahru. Ia diselangi dengan beberapa acara mengikut kreativiti daerah masing-masing.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga telah mendedahkan bahawa jersi baharu Harimau Selatan akan dilancarkan pada 24 Februari 2021. Hanya tinggal 11 hari sahaja lagi saat yang ditunggu-tunggu.

Namun melihat situasi perkembangan pandemik terkini, pastinya satu majlis secara norma baharu akan dirancang agar penyokong JDT dapat turut serta malah tidak ketinggalan mengambil bahagian pada hari pelancaran kelak. 

Penyokong menantikan pengumuman bagaimana sambutan itu akan dibuat dan bagaimana jika ingin membeli terus pada hari tersebut. Kebiasaannya sebelum ini sebaik sahaja tamat saat pelancaran tersebut, penyokong akan berpeluang membeli terus jersi baharu JDT tersebut.

Kebanyakanya mencatat jualan yang tinggi sehingga ada yang sampai kehabisan stok.

Sejak tahun 2014, penajaan NIKE dan JDT mengalami sirkulasi revolusi yang sangat sistematik. Bermula dengan menaja jersi menggunakan reka bentuk sedia ada sehinggalah JDT mencatat sejarah baharu dalam bola sepak negara apabila menjadi kelab kedua di Asia Tenggara menerima pengiktirafan dari NIKE selepas Kelab Chonburi dari Thailand menerima kit jersi tajaan NIKE yang direka khas oleh Ibu Pejabat NIKE di Amerika Syarikat.

Imbas kembali, pada musim 2020, jersi JDT didatangkan dengan dua variasi iaitu jersi bertona kombinasi warna merah dan biru untuk tuan rumah dan jersi berwarna putih di tempat lawan. 

Konseptual jersi tuan rumah bagi musim 2020 diinspirasikan daripada bendera Johor iaitu sama seperti musim sebelum ini. 

Jersi kedua untuk tempat lawan berwarna putih yang melambangkan stadium baharu JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim. 

Lilitan berwarna emas di bahagian lengan dan leher pula membawa simbolik kejayaan yang dilakar JDT. Pada musim 2020 juga, NIKE turut mengeluarkan dua edisi yang berbeza iaitu edisi pemain (player issue) dan edisi penyokong (fans issue).

Sama-sama kita nantikan dan bersedia untuk memiliki jersi baharu JDT sebagai tanda sokongan kita terhadap kelab kesayangan kita.

Sumber : FB JOHOR Southern Tigers