Trofi kejuaraan Liga Super kelihatan akan terus kekal di bumi Johor buat tahun kelapan berturut-turut.

Itu adalah bayangan yang dapat diberikan selepas Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan senarai barisan yang ‘menggerunkan’ dimiliki oleh skuad Harimau Selatan Rabu lepas.

Apa tidaknya, daripada senarai yang diumumkan itu, hampir keseluruhan pemain berstatus pemain kebangsaan berada di dalam skuad JDT, sekali gus ia pastinya mencetuskan rasa ‘gerun’ pesaing JDT  dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Dengan mengekalkan ramai muka lama yang berkualiti, kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dan penyerang import termahal Liga M, Jonathan Herrera, JDT boleh dianggap memiliki skuad serba lengkap.

Tambahan pula, kepulangan perancang tengah berpengalaman Safiq Rahim dan pemain sayap Safawi Rasid serta penyertaan bintang muda, Danial Amier Norhisham menambahkan lagi pilihan pemain untuk diturunkan buat pengendalinya, Benjamin Mora membentuk skuad ‘juara’.

Sekiranya gandingan di setiap posisi menjadi, tidak mustahil sasaran pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk melihat skuad Harimau Selatan melepasi peringkat kumpulan dan mara ke puaingn 16 atau suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) boleh menjadi satu kenyataan.

Rata-rata peminat, bukan sahaja penyokong JDT turut ‘terpegun’ melihat barisan mantap yang dimiliki oleh juara bertahan Liga Super tujuh kali berturut-turut itu. Penyokong JDT sudah pastinya teruja ingin melihat barisan JDT turun ke padang buat pertama kalinya musim ini bertemu Kedah dalam merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) pada 5 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Walaupun mendapat pelbagai pujian dan reaksi yang positif, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagaimanapun tetap merendah diri mengenai skuad yang bakal ditampilkan JDT musim ini.

Sumber : Berita Harian