Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh telah dilaporkan menerima tawaran dari beberapa kelab dari Asia sebelum mengesahkan mengesahkan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut hantaran  dari Insa Project Global Group, ejen pemain, di laman media sosial Instagram, terdapat pasukan dari Korea Selatan, Jepun dan Qatar berhasrat untuk mendapatkan khidmat Sumareh sebelum ini.

Bagaimanapun, bekas pemain sayap pasukan Sri Pahang itu telah memutuskan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan akhirnya membuat kata putus menyertai JDT. Beliau menghabiskan masa setengah musim di Thailand bersama Police Tero FC.

Sumareh berjaya membuat 4 penampilan bersama Police Tero tanpa sebarang jaringan dan sekali berada dalam barisan utama pasukan.

Kenasukan Sumareh ke JDT menjadikan kelab itu kini memiliki dua pemain sayap utama pasukan kebangsaan di samping Safawi Rasid selain mempunyai pemain import, Gonzalo Cabrera.

Gonzalo Cabrera turut bakal menjadi pemain naturalisasi pada musim hadapan sekiranya permohonan dibuat.

Skuad kendalian Benjamin Mora turut mempunyai dua pemain sayap lain yang sedia bakal memberi cabaran kepada Sumareh iaitu Ramadhan Saifullah dan Akhyar Rashid.

Musim ini, JDT turut melengkapkan perpindahan bekas ketua pasukan, Safiq Rahim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia serta Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Kesemua pemain baharu JDT musim ini mengikut senarai lengkap yang diumumkan adalah Jonathan Herrera, Safiq Rahim, Mohamadou Sumareh dan Danial Amier.