Pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sumareh mengucapkan penghargaan itu melalui akaun Instagram miliknya semalam selepas JDT mengesahkan pemain naturalisasi pertama negara itu bakal menyarung jersi skuad Harimau Selatan pada musim ini.
Dalam mesej itu, Sumareh turut menjelaskan betapa beliau teruja untuk meletakkan segala ‘bunyi bising’ mengenai dirinya di belakang dan memulakan sesuatu yang baharu bersama JDT.
Sumareh turut berasa tidak sabar untuk menyumbang sesuatu dan berharap dapat membantu JDT memenangi lebih banyak kejuaraan.
“Terima kasih kepada @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Ismail) kerana memberi saya peluang mewakili kelab terbaik di Malaysia.
“Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada projek JDT dan saya berharap dapat membantu pasukan memenangi lebih banyak trofi,” tulis Sumareh menerusi akaun Instagram Story, semalam.
Terdahulu, JDT telah mengesahkan Sumareh kini milik mereka menerusi satu video ringkas pengenalan pemain Gambia itu di laman sosial JDT. Ia sekali gus menjawab teka-teki mengenai spekulasi perpindahan pemain berusia 26 tahun itu ke skuad Harimau Selatan.
Menerusi video itu juga, Sumareh dilihat bakal menggunakan jersi nombor kegemarannya iaitu 13.
Penghijrahan Sumareh ke JDT dianggap bukan berita mengejutkan selepas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini sudah memberi bayangan pemain itu berada dalam radar skuad Harimau Selatan.
Nama Sumareh semakin hangat diperkatakan dalam kancah bola sepak negara minggu ini berikutan isu dengan bekas majikannya, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP). Ia selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan PBNP membayar sejumlah RM4.9 juta kepada Sumareh berkaitan tunggakan gaji dan pelanggaran kontrak.
Namun diberitakan melalui komen TMJ kepada laman “pahangfansclub” di instagram, TMJ mengucapkan terima kasih kepada Pahang dan akan berunding dengan Sumareh agar dapat bertolak ansur mengenai tuntutan kepada PBNP.
Sumber : Berita Harian
Kredit featured image: Allsport Co./Getty Images