Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengesahkan bahawa kalendar Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2021 akan tetap diadakan pada 5 Mac depan.
Menurut Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, pengumuman itu sejajar dengan keputusan oleh pihak kerajaan yang membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin ini.
Beliau memberitahu, MFL menyambut baik kebenaran pihak kerajaan itu bagi membolehkan latihan dijalankan mengikut model ‘gelembung sukan’ yang telah ditetapkan.
“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas pihak kerajaan membenarkan pasukan-pasukan di dalam Liga-M menjalani sesi latihan secara program latihan berpusat.
“Apa yang pasti, berita positif ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada industri sukan-sukan tanah air, malahan kegembiraan kepada penyokong-penyokong yang sentiasa menantikan sepak mula liga bola sepak tempatan.
Sepak Mula Liga-M
“Susulan pengumuman kebenaran daripada pihak kerajaan itu, Liga-M akan kembali membuka tirai pada 5 Mac 2020.
“Setiap pasukan telah pun dimaklumkan berkaitan perlawanan Liga-M yang akan bermula dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah nanti di mana saya berharap kesemua pasukan terus kekal berdisiplin dalam menjaga amalan SOP sepanjang perjalanan Liga Malaysia berlangsung.
“Kini tanggungjawab pemain, pegawai dan pasukan adalah mematuhi SOP di mana salah satu langkah iaitu Home Quarantine adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat. Kita tidak inginkan ada mana-mana pemain, pegawai dan pasukan gagal mematuhi SOP sehingga menyebabkan kes COVID-19 berlaku,” kata Datuk Ab Ghani
MFL sebelum ini mengumumkan pihaknya telah memutuskan penundaan tarikh sepak mula Liga-M bagi musim 2021.
Keputusan itu dicapai sejurus berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian selepas turut mengambil pandangan serta persetujuan daripada wakil-wakil pasukan pada bulan lalu.