Bukan satu berita mengejutkan jika benar-benar Sumareh menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini kerana sebelum ini sudah banyak dan sekian lama spekulasi mengaitkannya dengan skuad Harimau Selatan terutama selepas nekad meninggalkan Pahang.

Ia berikutan bekas pemain Pahang itu didakwa bakal menyertai pencabar dan pesaing skuad Tok Gajah yang juga juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, JDT.

Khabar angin itu kini bertiup kencang di media sosial dengan ada yang mendakwa pemain berusia 26 tahun itu semakin hampir menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu.

Bagaimanapun masih belum ada kenyataan rasmi daripada Sumareh atau pun JDT sendiri mengenai perpindahan tersebut.

Sebelum ini Sumareh telah berhijrah ke Liga 1 Thailand bersama kelab Police Tero FC selama beberapa bulan selepas meninggalkan Pahang dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.

Beliau kemudian mengesahkan kembali ke Malaysia sambil menyifatkan pengalaman bersama Police Tero di Liga 1 Thailand memberi banyak faedah buat kariernya.

Ketika ini pula heboh berita mengenai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada Mohamadou Sumareh.

Sumareh ketika dihubungi oleh wartawan BH Sukan untuk mendapatkan komennya mengenai arahan FIFA kepada PBNP juga, pemain naturalisasi pertama negara itu tidak memberikan sebarang respon.

Adakah Perlu JDT Mengambil Sumareh ?

Sebelum ini pada pertengahan tahun lepas, berita perpindahan Sumareh ke JDT telah pun berbunyi. Ketika itu bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh telah menegaskan yang JDT tidak memerlukan khidmat bekas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh.

Ini kerana, baginya, JDT akan membuat langkah ke belakang jika mengambil Sumareh menyertai kem mereka sedangkan mereka telahpun memiliki Safawi Rasid dan juga pemain muda, Akhyar Rashid yang merupakan pemain yang setaraf dengannya.

Ia Bukan Langkah Ke Depan

Namun, adakah berbaloi untuk Sumareh melangkah ke Harimau Selatan sedangkan di sana terdapat Safawi Rasid yang juga merupakan pemain sayap kanan sepertinya ? Ini yang telah ditimbulkan oleh Serbegeth atau lebih mesra dipanggil Shebby.

“Benda ini memang menjadi kebiasaan setiap pasukan mencari pemain tempatan terbaik dan kalau dari aspek perpindahan, tidak menghairankan sebab kita lihat Matthew Davies pun sudah beraksi dengan JDT,” ujar Shebby mengenainya.

“Setiap pemain tempatan juga bercita-cita menyertai pasukan terbaik,” tambahnya lagi yang dipetik berkata kepada Berita Harian sambil menjelaskan dari segi teknikal, pemain kelahiran Gambia itu tidak membawa sesuatu yang istimewa buat pasukan.

“Namun, dari aspek teknikal, adakah Sumareh akan membawa sesuatu yang istimewa kepada JDT ? 

Tidak. Pada pendapat saya, tahap dia lebih kurang pemain tempatan sahaja, bagi JDT ia bukan langkah ke depan,” tegas Shebby sekali lagi.

Kedua-duanya Pemain Sayap Kanan

“Jadi, tidak ada yang istimewa JDT akan dapat sekiranya ambil dia,” jelasnya lagi mengenai kemungkinan tersebut yang mungkin juga ada asas kebenarannya jika difikirkan.

Kita juga dapat melihat di dalam skuad kebangsaan, kedua-duanya merupakan pemain sayap kanan yang merupakan pesaing yang hampir setaraf. Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe perlu korbankan salah seorang untuk satu-satu aksi.

Jika kedua-duanya dimainkan, Tan Cheng Hoe perlu memilih untuk korbankan salah seorang untuk beraksi di posisi kiri sama ada Sumareh ataupun Safawi Rasid. 

Jadi, berbaloikah untuk Harimau Selatan membawa seorang lagi pemain sayap kanan ?

Mungkin untuk memberikan cabaran kepada Safawi Rasid adalah alasan yang baik, tetapi rasanya Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu tidak memerlukan cabaran daripada pemain seperti Sumareh.

Cari Yang Bertaraf Import

“Kalau JDT ingin beraksi atau mempersembahkan tahap bola sepak lebih tinggi, mereka harus mencari pemain yang lebih baik dari yang baik. Macam Diogo, Cabrera, itu tahap tinggi. Kita lihat Safawi Rasid sudah meningkatkan tahap persembahannya.

“Kalau dia dapat tawaran dari JDT, pergilah. Tapi untuk JDT, sekiranya mereka inginkan seorang pemain yang beraksi di tahap tertinggi, Sumareh bukan (pemain) yang memiliki kriteria itu dan Safawi lebih baik daripada dia,” jelasnya lagi.

Selain itu, Shebby turut berkata yang JDT harus mencari pemain yang bertaraf import dan bukanlah membawa masuk pemain yang hanya setaraf dengan pemain tempatan yang sebenarnya telahpun dimiliki oleh mereka di posisi tersebut.

“Apa beza Akhyar (Rashid) dengan Sumareh? Tiada perbezaan. Jadi JDT kalau nak maju kena cari pemain yang bertahap pemain import,” tambah Shebby lagi.

Sumber : Berita Harian dan Semuanyabola.