Setelah lebih satu tahun tidak beraksi, skuad Harimau Malaya jelas mahu memberi nafas baharu apabila menyenaraikan tonggak muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Ramadhan Saifullah Usman menyertai kem latihan sebagai persediaan saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kelak.

Harimau Malaya memiliki banyak pilihan swkiranya Ramadhan disenaraikan dalam skuad akhir, termasuk tidak lagi bergantung kepada ‘kuda tua’ di bahagian serangan dengan gandingan mantap ubi muda yang diketuai oleh penyerang bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin dan Ramadhan mampu mengucar-kacirkan pihak lawan.

Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Pengurus pasukan kebangsaan berkata, Ramadhan adalah antara muka baharu yang akan dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya dalam usaha menguatkan lagi bahagian serangan pasukan.

“Keputusan untuk menyenaraikan Ramadhan dalam skuad terakhir Harimau Malaya akan ditentukan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe jika beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain berusia 20 tahun itu.

“Antara muka baharu yang akan dipanggil menyertai kem latihan adalah Ramadhan berdasarkan prestasi semasa bersama JDT sebelum ini. 

“Keputusan akan ditentukan oleh Cheng Hoe nanti untuk menggunakan khidmat pemain tersebut atau sebaliknya mengikut kesesuaian pasukan,” katanya kepada Arena Metro.

Cheng Hoe sebelum ini jelas terpikat dengan aksi bertenaga bintang baharu JDT itu dan berhasrat untuk menyenaraikannya dalam skuad Harimau Malaya.

Ramadhan yang mencetak dua gol ketika membantu JDT membenam Selangor 6-1 dalam aksi Liga Super musim lepas berjaya mempamerkan permainan yang meyakinkan dan menakjubkan termasuk ketika menjaringkan gol lencong berkualiti dalam perlawanan itu.

Katanya, pemain sayap berusia 20 tahun itu mempunyai ciri-ciri seorang penyerang yang diinginkan dan sudah tentu jika dia mampu mengekalkan konsistensinya, Ramadhan akan memiliki masa depan yang cerah.

Sumber : Harian Metro