Adakahkah Liga Malaysia (Liga M) bakal ditunda lagi ke satu tarikh baru atau berlangsung pada 5 Mac ini?

Jawapan itu dijangka akan dapat diketahui esok melalui pengumuman rasmi yang bakal disampaikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sudah tentu harapan tinggi di­letakkan oleh semua pasukan Liga M kepada kerajaan untuk membenarkan industri bola sepak kembali beroperasi.

Apa pun cara dan bagaimana prosedur operasi standard (SOP) dan pendekatan yang akan diambil untuk memastikan sukan ini dapat beroperasi dengan baik akan dipatuhi sepenuhnya oleh setiap pasukan.

MFL sebelum ini telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga M bagi bagi musim 2021 pada 5 Mac ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga 18 Februari ini.

“Harapan sudah tentu nak liga berlangsung secepat mungkin. Sebelum ini kita dapat maklum balas positif daripada Datuk Seri Ismail Sabri mengenai cadangan dan SOP bagi kelonggaran sektor sukan dan rekreasi termasuklah industri bola sepak yang dibentangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya juga yakin semua pasukan sudah bersedia untuk mematuhi dan mengikuti apa sahaja SOP yang akan ditetapkan oleh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan pihak kerajaan.

“Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL yang telah berusaha berterusan membuka peluang untuk menghidupkan kembali bola sepak di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Kamal Idris Ali.

Sumber : Utusan Malaysia