Syarikat kurier, J&T Express (J&T) menerusi satu kenyataan berhubung kejadian pekerja mogok dan baling barang memohon maaf kepada semua yang terkesan dan sedia menerima pendapat serta cadangan orang ramai.
Menurut kenyataan itu, insiden tersebut terjadi disebabkan oleh sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan pegawai jabatan sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan melempar barangan milik pelanggan oleh kakitangan J&T Express yang tular sejak semalam.
Syarikat tersebut turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan tampil memberi penjelasan mengenai penangguhan, pemotongan gaji serta kecurian bungkusan kendalian syarikatnya.
Dalam satu surat terbuka di Facebook, syarikat itu menjelaskan pengagihan bungkusan secara ganas yang berlaku pada hari Khamis lalu disebabkan terdapat segelintir kakitangannya yang tidak memahami dengan jelas sistem pengagihan bonus dalam kalangan pegawai jabatan.
“Sebenarnya J&T sudah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun selepas membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus dan Undang-Undang Perburuhan Malaysia.
“Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang bekerja selama satu tahun dan bonus dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun,” katanya dalam kenyataan itu.
“Bagaimanapun, pengurusan negeri Perak segera menangani dan menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku. Pada 5 Februari (Jumaat) lalu, pekerja kembali menjalankan tugas seperti biasa untuk menyusun serta memproses bungkusan pelanggan.
“Kami ingin menjelaskan bahawa J&T tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja dan akan bersedia menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat dan institusi berkenaan,” katanya.
“Disebabkan peningkatan pesat dalam jumlah bungkusan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, J&T mengambil lebih banyak bungkusan daripada masyarakat.
“Dalam tempoh ini, syarikat mengupah lebih ramai pekerja sementara dan hanya memberikan latihan yang asas kepada pekerja sementara.
“Ini adalah kesalahan dalam pengurusan kami. Kami juga sudah merumuskan peraturan dan kaedah pengurusan khususnya untuk penyelesaian dan pengawasan insiden serupa serta menyelesaikan bungkusan yang hilang dengan cepat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier terssebut membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.
Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.