Tan Cheng Hoe, Pengendali Harimau Malaya, berharap Liridon Krasniqi, tonggak naturalisasi negara, akan dapat menemui semula sentuhannya apabila dipinjamkan ke kelab Liga Australia, Newcastle Jets.

Cheng Hoe aberkata, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mempunyai potensi dan peluang yang besar dalam membantu skuad kebangsaan dan peluang beraksi di A-League harus digunakan sebaiknya oleh tonggak tengah menyerang itu.”Ini kesempatan untuk Liridon Krasniqi kembali menemui sentuhannya semula. Dia seorang pemain yang bagus dan saya tahu kemampuan dia.

“Liga Australia adalah antara yang terbaik juga di Asia dan saya harap dia boleh bangkit dan dapat membantu pasukan negara dalam perlawanan antarabangsa selepas ini.

“Lagi pun beliau mempunyai pengalaman yang luas apabila sebelum ini juga pernah main di beberapa liga di Eropah dan dia tidak ada masalah sesuaikan diri di sana,” kata Cheng Hoe kepada wartawan Arena Metro.

Telah dilaporkan semalam, Liridon Krasniqi yang juga pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh diumumkan secara rasmi sebagai tonggak baharu oleh Newcastle Jets selepas dipinjamkan oleh JDT.

Liridon telah meraih kerakyatan Malaysia pada tahun lalu. Beliau akan menyertai pasukan yang beraksi dalam A-League itu sebaik sahaja pintu perpindahan dibuka pada 16 Februari ini.

Ketika ini, tonggak kelahiran Kosovo itu sedang menjalani tempoh kuarantin sebaik tiba di Australia kelmarin.

Selain Liridon, seorang lagi pemain JDT asal Indonesia, Syahrian Abimanyu turut dipinjamkan ke kelab yang sama.

Untuk rekod, Newcastle Jets kini menghuni tangga tercorot A-League daripada 12 pasukan apabila sekadar mengumpul empat mata daripada enam aksi yang sudah dilalui.

Sumber : Harian Metro